KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima menumpaskan aktiviti pemunggahan kayu balak tanpa permit berikutan penahanan enam lelaki termasuk tiga warga Indonesia dalam serbuan di perairan Pulau Kerto Batang Rejang, dekat Sibu, Selasa.
Komander PPM Wilayah Lima Sarawak ACP N.Kalai Chelvan berkata dalam serbuan pada 12.15 tengah hari itu, pihaknya turut merampas 927 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz; sebuah tongkang; sebuah bot tunda; dua buah kren dan sebuah kapal dengan nilai keseluruhan RM5.1 juta.
Menurutnya, dalam operasi diketuai ASP Enturan a/k Lages bersama-sama tiga anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah Lima Sarikei itu mendapati sebuah bot tunda serta sebuah tongkang sedang menjalankan aktiviti pemindahan kayu balak ke sebuah kapal.
"Semasa pemeriksaan, didapati 60 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis telah dipunggah dari tongkang ke dalam kapal tersebut dan masih ada baki 867 batang kayu balak baki di dalam tongkang itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kalai Chelvan berkata pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti yang dilakukan enam individu yang berusia antara 26 dan 45 tahun itu, merupakan kesalahan di bawah Ordinan Perhutanan Negeri.
Mereka juga gagal menunjuk atau mempamerkan Pas Pemindahan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Sarawak, katanya.
Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ulu Lanang, Sibu dan hasil rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak Bahagian Sibu untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
Polis Marin Tumpas Aktiviti Pemunggahan Balak Haram Di Sibu
Reviewed by Unknown
on
September 16, 2015
Rating:
Reviewed by Unknown
on
September 16, 2015
Rating:

No comments: