Seo Services

Kastam Lupus 262.45kg Dadah Bernilai RM35.6 Juta


SERDANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini buat pertama kalinya menggunakan sistem insinerator untuk melupuskan 262.45 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM35.6 juta yang dirampas sejak 2013.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata dadah itu adalah hasil rampasan daripada 155 kes sejak 2013 hingga bulan lepas oleh Bahagian Penguatkuasaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM dan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur.

Katanya ia terdiri daripada 148.03kg dadah jenis methamphetamine, cathinone (103.61kg), ketamine (7.828kg) dan pseudoephedrine (2.982kg).

“Cathinone dan pseudoephedrine ini biasanya digunakan untuk membuat ubat, tetapi yang dirampas ini disyaki akan diubah dijadikan dadah,” katanya kepada pemberita sebelum proses pelupusan di tapak insinerator Jabatan Pertanian, di sini.

Khazali berkata JKDM menggunakan insinerator melupuskan dadah itu kerana kaedahnya lebih mesra alam berbanding proses pelupusan biasa.

“Selain itu jumlah yang kita lupuskan kali ini agak besar jadi kita dapatkan kerjasama Jabatan Pertanian untuk menggunakan insinerator ini,” katanya.

Beliau berkata dadah terbabit dibakar secara berperingkat dengan sekali pembakaran melibatkan 60kg dan mengambil masa selama sejam.

Insinerator itu sebelum ini turut digunakan untuk melupuskan barangan pertanian yang dibawa masuk ke negara ini tanpa mengikut syarat import atau berpenyakit.

Dalam pada itu, Khazali berkata sejak 2013 hingga kini, seramai 26 pesalah kebanyakannya dari luar negara telah dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

“Pada 2013 bilangan kes yang didakwa ialah 53 dan 21 daripadanya sudah dijatuh hukum dan bagi 2014 sebanyak 24 kes sudah didakwa dan lima kes disabit kesalahan manakala tahun ini 18 kes sedang berjalan,” katanya.

Khazali berkata secara keseluruhannya, Cawangan Narkotik JKDM, JKDM KLIA dan JKDM Kuala Lumpur telah merampas 1,548.168kg dadah bernilai RM174.525 juta sejak 2013 hingga bulan lepas.

Katanya ia membabitkan rampasan sebanyak 1,005.178kg dadah pelbagai jenis bernilai RM81.811 juta pada 2013; 434.654kg (RM72.663 juta) pada 2014; dan 108.337kg (RM20.051 juta) dari Januari hingga September tahun ini. – BERNAMA
Kastam Lupus 262.45kg Dadah Bernilai RM35.6 Juta Kastam Lupus 262.45kg Dadah Bernilai RM35.6 Juta Reviewed by uMieySurianie on October 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.