Seo Services

Kerajaan Negeri Sarawak Tidak Pernah Abaikan Suku Kaum Penan


KUCHING - Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan suku kaum Penan tetapi sentiasa cuba meyakinkan dan membawa mereka ke arus pemodenan, kata Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

Beliau berkata kerajaan memberi opsyen kepada generasi lama suku kaum itu untuk sama ada meneruskan cara hidup lama atau keluar dari hutan dan memikmati kehidupan moden.

"Untuk generasi lama kaum Penan yang masih mahu mengekalkan kehidupan sebagai pemburu, masih ada banyak kawasan hutan untuk menjalankan kegiatan memburu tetapi bagi generasi muda, kerajaan menggalakkan mereka memasuki persekolahan kerana pendidikan penting bagi kehidupan yang lebih baik," katanya.

Dr Masing, yang juga pengerusi Tabung Amanah Bakun berkata demikian kepada pemberita selepas upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Tabung Amanah Bakun.

MoU itu bertujuan memberi sokongan untuk melanjutkan pengajian kepada masyarakat Penan di Daerah Belaga terutama penduduk yang terlibat secara langsung dengan projek stesen hidro elektrik Murum yang baru siap.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Torstein Dale Sjotveit dan Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat SEB Jiwari Abdullah menandatangani MoU itu bagi pihak SEB manakala Dr Masing dan Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak Liwan Lagang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Belaga menandatanganinya bagi pihak Tabung Amanah Bakun.

Dr Masing berkata kesungguhan kerajaan negeri membantu masyarakat suku kaum Penan terbukti apabila tiga biasiswa diwujudkan setakat ini untuk membantu pelajar suku kaum itu mendapat pendidikan dan melanjutkan pengajian di universiti dan sekolah latihan teknikal.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada SEB kerana menyediakan dana pendidikan khas berjumlah RM200,000 setiap tahun di bawah Tabung Amanah Bakun, yang akan dimanfaat bagi memenuhi keperluan pendidikan kaum Penan.

"Inisiatif itu bertujuan memberi motivasi yang berterusan kepada golongan muda dari kaum itu untuk berusaha ke arah kecermelangan dalam bidang pendidikan," katanya.

Dr Masing berkata penduduk enam kampung Penan dan satu-satunya kampung Kenyah Badeng dari kawasan penempatan semula Murum serta 19 lagi komuniti Penan dari seluruh daerah Belaga mendapat manfaat daripada dana itu.

Menurutnya insentif itu juga diberikan kepada pelajar Penan berdasarkan kehadiran mereka di sekolah bukan keputusan peperiksaan bagi menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah.

Sementara itu, Torstein berkata pendidikan dan golongan remaja adalah satu daripada intipati utama dalam strategi tanggungjawab sosial korporat SEB kerana ia memberi penekanan kepada pendidikan ke arah pembangunan sosial dan ekonomi.

"Dalam usaha menyokong kerajaan ke arah pertumbuhan ekonomi negeri dengan memacu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, kami mahu memastikan bahawa kominiti yang terlibat denghan projek kami mendapat manfaat secara mampan," katanya.

Torstein mewakili SEB dalam jawatankuasa itu, yang ditubuhkan untuk menguruskan dana itu serta memberi tumpuan kepada cara-cara untuk meningkatkan kadar penyertaan dan kehadiran, pencapaian akademik, kaunseling, motivasi dan program capaian untuk pelajar, guru dan ibu bapa.

Beliau berkata melalui inisiatif SEB, dua buah sekolah di kawasan kaum Penan mencatatkan kehadiran pelajar 70 peratus berbanding 20 peratus sebelumnya. -Bernama-
Kerajaan Negeri Sarawak Tidak Pernah Abaikan Suku Kaum Penan Kerajaan Negeri Sarawak Tidak Pernah Abaikan Suku Kaum Penan Reviewed by Unknown on October 31, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.