Seo Services

Kesihatan Mental Rakyat Harus Diutama


KUCHING: Kesedaran meningkatkan kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia dari semua lapisan umur harus diberi keutamaan.

Malah, ia juga hendaklah dijadikan sebagai sebahagian daripada agenda utama kesihatan nasional berhubung isu-isu kesihatan yang perlu ditangani.

Sehubungan itu, Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Chin Zin Hing mendedahkan, masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan.

“Menurut kaji selidik Banci Kesihatan Mental Kebangsaan dan Mobiditi 2011 (NHMS), sebanyak 20 peratus kanak-kanak di negara kita mengalami masalah kesihatan mental berbanding 13 peratus dalam kalangan orang dewasa.

“Ini bermakna, nisbah purata pesakit mental kanak-kanak adalah seorang dewasa kepada lima orang kanak-kanak (1:5),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2015 di Dewan Persona, HUS, di sini semalam.

Kata beliau, isu stigma yang membelenggu diri pesakit mental harus diambil perhatian sewajarnya bagi mengelakkannya menjatuhkan maruah seseorang serta memberi kesan atau imej yang tidak sihat kepada pesakit yang mengalaminya.

“Kebiasaannya, pesakit berasa kurang keyakinan diri sendiri akibat diasing, dipulau dan didiskriminasi oleh masyarakat sekeliling,

“Justeru, bahaya stigma yang membelenggu diri pesakit mengakibatkan mereka tidak mahu menerima hakikat mengalami masalah gangguan mental lalu lewat menerima rawatan yang sewajarnya,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2015 itu, Dr Chin memberitahu, ia sebagai salah satu usaha untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap penyakit mental dan stigma yang wujud dalam diri masyarakat.

“Bertemakan ‘Memartabatkan Kesihatan Mental’, ia sangat bersesuaian dengan sambutan kita pada hari ini (semalam) yang berobjektifkan mengubah pradigma pandangan masyarakat terhadap kesihatan mental.

“Kesihatan mental perlu dijaga dari awal tanpa mengira status, bangsa, jantina, keadaan fizikal dan mental seseorang,” katanya.

Majlis itu anjuran Persatuan Kesihatan Jiwa Sarawak, Jabatan Psikiatrik Dan Kesihatan Mental HUS dengan kerjasama Hospital Sentosa dan Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan sepanjang berlangsungnya Hari Kesihatan Mental Sedunia 2015 seperti pemeriksaan saringan kesihatan mental, pameran, forum dan sesi perkongsian. - UB
Kesihatan Mental Rakyat Harus Diutama Kesihatan Mental Rakyat Harus Diutama Reviewed by uMieySurianie on October 10, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.