Seo Services

Peranan NGO Dalam Usaha Meningkatkan Kesedaran Tentang Kanser


KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa memainkan peranan yang lebih proaktif dengan menganjurkan program-program membabitkan penglibatan masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang penyakit kanser.

Perkara itu ditegaskan oleh isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu yang memberitahu menerusi aktiviti yang dijalankan itu ia dapat membantu meningkatkan semangat diri untuk meneruskan hidup sekali gus melupakan trauma khususnya dalam kalangan pesakit kanser.

“Oleh itu, saya amat menggesa penglibatan NGO untuk bersama-sama memainkan peranan yang lebih aktif dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan terutamanya melibatkan pesakit kanser.

“Menerusi kaedah ini kita dapat membantu mereka menghilangkan rasa trauma mereka dalam proses pemulihan pesakit ini supaya mereka dapat hidup seperti manusia sihat lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian seminar kesihatan berkaitan nutrisi yang sihat untuk mencegah penyakit kanser dan merawat pesakit kanser di Auditorium Pusat Penerangan Islam di sini semalam.

Program anjuran bersama Tenaga Badan Amal Isteri-isteri Menteri (SABATI), Pusat Penerangan Islam serta CanHope Kuching dan Pusat Kanser Parkway, Singapura itu dihadiri lebih 100 peserta.

Selain itu, Jamilah memberitahu sokongan daripada ahli keluarga pesakit, rakan dan masyarakat amat penting dalam membantu proses pemulihan pesakit kanser.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan supaya pesakit kanser ini terutamanya kanak-kanak dapat menjalani hidup mereka dengan lebih baik lagi,” tambahnya.

Katanya, penganjuran seminar itu dapat menambah ilmu pengetahuan tentang jenis pengambilan nutrisi yang sihat untuk mencegah kanser serta merawat penyakit tersebut.

“Saya berharap penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Hadir sama isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Fatimah Mohd Iskandar, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan SABATI Datin Noraini Hussin, Datin Rosnie Sulong, Datin Simba Nalang dan ahli jawatankuasa Sabati lain. - UB
Peranan NGO Dalam Usaha Meningkatkan Kesedaran Tentang Kanser Peranan NGO Dalam Usaha Meningkatkan Kesedaran Tentang Kanser Reviewed by Unknown on October 31, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.