Kuching : Persatuan Peladang Negeri Sarawak bertindak sebagai pemangkin bagi pembangunan ahli untuk agropreneur yang berjaya, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang.
Alfred Jabu yang juga merangkap Menteri Permodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak berkata, kerajaan komited untuk memajukan para petani, penternak dan nelayan di negeri ini menerusi pertubuhan peladang.
“Saya mengusahakan agar semua petani terutamanya luar bandar menjadi ahli pertubuhan peladang agar semua bantuan dan keuntungan yang diperolehi akan disalurkan kepada ahli peladang,”
Beliau berkata sedemikian semasa menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-30 Persatuan Peladang Negeri Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini.
Turut hadir, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dan Menteri Muda Pertanian, Datuk Sylvester Entri Muran selaku Pengerusi PPNS, Datuk Seri Hj. Saipolbahari Suib selaku Pengerusi Pertubuhan Ladang Kebangsaan (NAFAS), Datu Dr. Ngenang Janggu, Setiausaha Tetap, Kementerian Permodenan Pertanian Sarawak selaku Wakil Pendaftar Pertubuhan Peladang Sarawak, Dato AB Rahman Ismail, Pengurus Besar Pertubuhan Ladang Kebangsaan (NAFAS), Rapoi Sidup, Ketua Penolong Pengarah Pertanian (Bahagian Institusi Peladang dan Sanawi Ismail, Pengurus Besar, PPNS.
Mesyuarat Agung Tahunan kali ini turut dihadiri oleh 61 orang perwakilan dari 28 Persatuan Peladang Kebangsaan yang mewakili 203,958 ahli peladang di Sarawak untuk pertama kalinya.
Tambah beliau, prestasi kewangan PPNS pada akhir tahun 2014 adalah RM33.4 juta berbanding RM24.8 juta pada tahun 2013 dan telah menunjukkan peningkatan sebanyak RM9.7 juta.
“Saya difahamkan peningkatan ini disumbangkan oleh pendapatan dari projek tanaman getah berkolompok dari Jabatan Pertanian Sarawak dan perkhidmatan pengangkutan baja padi dari pihak NAFAS.,”
“Dengan itu, saya berharap Jabatan Pertanian dapat memberi banyak lagi projek kepada PPNS, begitu juga pihak NAFAS supaya dapat memberi banyak lagi peluang perniagaan kepada PPNS,"
Beliau juga berharap agar agensi-agensi kerajaan yang lain dapat membantu PPNS, kerana PPNS menjalankan perniagaan untuk ahli-ahli peladang dan semua keuntungan yang diperolehi akan disalurkan kepada ahli peladang.
“Saya juga mencadangkan PPNS menumpukan lebih banyak projek jangka panjang yang berdaya saing dan mampan untuk memastikan keuntungan yang diperolehi adalah terjamin,”
Untuk rekod, pihak NAFAS telah berkerjasama dengan PPNS dalam membangunkan perniagaan komersial jangka panjang antaranya projek pembangunan kilang minyak sawit di Bakong, Miri yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
“Ini merupakan satu langkah yang bagus kerana bukan sahaja memberi keuntungan kepada PPNS tetapi membantu pekebun kecil kelapa sawit di kawasan sekitar dengan menyediakan tempat untuk mereka menjualkan hasil dan juga peluang pekerjaan untuk mereka sekaligus menaikkan taraf hidup petani di kawasan berkenaan,”
Selain itu, antara pelan projek PPNS menjelang tahun 2016 adalah Projek Pembangunan Zon Industri Akuakultur (AIZ) di Rambungan, Kuching, Projek Pembangunan Pasaraya Agro di Matang Jaya, Kuching, Projek Pembangunan Pusat Pengumpulan Tandan Kelapa Sawit Segar (FFB) di Bakong, Miri, Projek Pembangunan Tanah NCR Ahli-Ahli Pertubuhan Peladang, Projek Ternakan Kelulut dan Projek Usahasama dengan NAFAS bagi membangunkan unit-unit Pertubuhan Peladang Kebangsaan terutama sekali untuk tanaman jangka pendek. - Sarawakiana
PPNS Pemangkin Pembangunan Ahli Peladang Luar Bandar
Reviewed by Unknown
on
October 01, 2015
Rating:
No comments: