KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang memburu tiga lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden pengeboman di Bangkok pada 17 Ogos lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis telah dimaklumkan mengenai suspek berkenaan, yang dipercayai berada di Malaysia oleh pihak berkuasa Thailand, bagi membantu siasatan.
Namun, katanya Malaysia memerlukan maklumat biometrik dan bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) individu terbabit bagi memudahkan proses pengenalpastian dan proses penahanan dilakukan.
"Ini boleh dilakukan berdasarkan perjanjian perundangan bersama dengan negara sahabat itu dan dalam hal ini, kami yakin pihak PDRM dan Polis Thailand dapat melakukan sesuatu yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Ketenagakerjaan dan Transmigrasi Indonesia Hanif Dhakiri di sini, Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata terdapat kemungkinan ketiga-tiga individu terbabit mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan kejadian pengeboman berkenaan.
"Mereka mungkin terbabit secara langsung dengan pengebom atau sekadar menjadi pembawa orang itu, mungkin mempunyai kereta atau teksi," katanya.
Ditanya mengenai warganegara individu terbabit, Ahmad Zahid enggan mengulas mengenainya.
"PDRM akan mendedahkannya," kata beliau.
Setakat ini, PDRM telah menahan lapan suspek dan mereka sudah disiasat di negara ini, sebelum diekstradisi ke Thailand.
Serangan bom berhampiran Kuil Erawan itu mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan mengakibatkan 130 orang lagi cedera.
Pada 28 Sept lepas, Polis Thailand telah mengumumkan secara rasmi identiti lelaki yang disyaki bertanggungjawab dalam serangan bom berkenaan.
-- BERNAMA
Pengeboman Bangkok : PDRM Bantu Polis Thailand Buru Tiga Lagi Individu
Reviewed by Unknown
on
October 01, 2015
Rating:
No comments: