Seo Services

Promosikan Gelaran Kuching Bandar Raya Perpaduan


KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa untuk meneruskan promosi gelaran Bandar Raya Perpaduan yang diberikan kepada bandar raya ini terutama kepada pelancong luar yang datang ke sini.

Menjelaskan perkara tersebut, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, masyarakat yang tinggal di bandar raya ini hendaklah bersatu hati menyemarakkan gelaran itu memandangkan Kuching merupakan bahagian tarikan utama pelancong yang datang ke Sarawak.

“Kerjasama erat antara PBT dan masyarakat di sini memainkan peranan penting dalam usaha kita mengekalkan gelaran yang kita perolehi iaitu sebagai Bandar Raya Perpaduan selain menjadikan Kuching sebagai bandar raya berjiwa, selamat, bersih dan yang lebih penting ialah harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Kuching 2015 dan Konsert Grand Finale anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara di Panggung Udara, Jalan Budaya, di sini, malam kelmarin.

Terdahulu, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, papan tanda besar harus diletakkan khususnya di ruang ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebagai usaha untuk memberi aura yang ada pada Kuching untuk ditawarkan kepada pengunjung.

“Justeru, PBT harus mempromosi gelaran Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan melalui pemasangan papan tanda besar dan semestinya dana untuk tujuan itu akan diberi oleh Kementerian Pelancongan Negeri,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari mendedahkan, beliau akan membuat pengumuman mengenai polisi perumahan yang baharu yang pastinya menjanjikan persekitaran kejiranan yang lebih sentosa dan cantik.

“Antara perkara yang akan diberi keutamaan ialah pembangunan rumah mampu milik dalam bandar, polisi mesra rakyat serta pembangunan tapak rekreasi di kawasan sekitar perumahan,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang berlangsungnya Pesta Kuching 2015 termasuk Pesta Macam-Macam Laksa, acara kayuhan basikal, Festival Tarian Tradisional, Pertandingan Bercerita, Persidangan Bandar Berjiwa Antarabangsa Ke-2 dan Pertunjukan Orkid Antarabangsa 2015.

Penutupan Pesta Kuching juga menyaksikan persembahan artis terkenal tanah air, Faizal Tahir serta penyerahan bendera Pesta Kuching oleh Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan. - UB



Promosikan Gelaran Kuching Bandar Raya Perpaduan Promosikan Gelaran Kuching Bandar Raya Perpaduan Reviewed by uMieySurianie on October 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.