Seo Services

Tiada Bukti Kukuh Wujud Elemen Militan IS Di Timur Sabah - Hishammuddin


SEMPORNA: Tiada ancaman secara langsung dan bukti kukuh wujudnya elemen militan negara Islam (IS) bertapak di pantai timur Sabah, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Namun, beliau berkata pasukan keselamatan tidak boleh memandang ringan kerana kawasan perairan timur Sabah sering berhadapan dengan pelbagai isu keselamatan yang membabitkan jenayah rentas sempadan, serta elemen militan yang dibawa masuk dari selatan Filipina.

Katanya pada ketika ini, pengaruh IS dipercayai mendapat sambutan kalangan kumpulan pengganas dan pemisah di selatan Filipina berikutan pemimpin beberapa kumpulan tersebut menyatakan kesetiaan kepada pemimpin IS, Abu Bakar Al-Baghdadi pada tahun lepas.

Secara tidak langsung, unsur ekstremis ini berupaya mempengaruhi sebuah kumpulan di Sabah melalui jaringan pengganas yang sedia terjalin, katanya pada kenyataan media pada lawatan ke Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di perairan dekat sini, hari ini.

Katanya selain itu, ancaman militan itu turut berkait dengan lima anggota militan rakyat Malaysia yang kini bersembunyi di selatan Filipina.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, Hishammuddin berkata militan merupakan ancaman yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan untuk ditangani secara menyeluruh.

Beliau berkata perancangan mewujudkan Wilayah Islamiah di Laut Sulu oleh militan IS di selatan Filipina memerlukan kerajaan membuat persiapan proaktif untuk menanganinya.

"Perkembangan di selatan Filipina, geopolitik di Laut Cina Selatan, menuntut kita membuat persiapan proaktif termasuk menerusi pembabitan negara-negara Asean," katanya.

Hishammuddin berkata esok beliau akan ke Beijing, China bagi menghadiri perjumpaan tidak formal Menteri-Menteri Pertahanan Asean dengan kerajaan China.

Katanya sebagai pengerusi negara Asean, Malaysia akan menggunakan sebaik mungkin kedudukan itu untuk meletakkan agensi keselamatan dan pertahanan negara-negara Asean dalam satu kedudukan di peringkat serantau menangani ancaman termasuk IS.- BERNAMA
Tiada Bukti Kukuh Wujud Elemen Militan IS Di Timur Sabah - Hishammuddin Tiada Bukti Kukuh Wujud Elemen Militan IS Di Timur Sabah - Hishammuddin Reviewed by uMieySurianie on October 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.