Seo Services

Tragedi SK Tohoi: JAKOA Sediakan Bantuan, Keperluan Kepada Keluarga Mangsa


PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) komited memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pencarian dua lagi murid Orang Asli di Gua Musang dengan menyediakan pelbagai bantuan dan keperluan kepada ibu bapa dan anggota keluarga mereka.

Ketua Pengarah JAKOA Datuk Hasnan Hassan berkata pembentukan pasukan sukarelawan Orang Asli dan pasukan RELA Orang Asli merupakan antara tindakan segera sebaik sahaja menerima laporan kehilangan murid Sekolah Kebangsaan Tohoi berkenaan.

Katanya, pasukan terdiri daripada 190 orang diketuai Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu Faridah Mat dengan kerjasama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Sepanjang 47 hari operasi dijalankan, tiada sebarang rungutan dan rasa tidak puas hati diterima JAKOA daripada ibu bapa dan ahli keluarga murid yang yang hilang.

“Pihak lain yang turut bersama-sama terbabit dalam operasi mengesan, mencari dan menyelamat serta berterima kasih dan menghargai keprihatian Jakoa dalam menyalurkan bantuan dan menjaga kebajikan semua pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut beliau, JAKOA Kelantan dan Terengganu memberi komitmen sepenuhnya dan mengerahkan segala kekuatan anggota walaupun Jakoa turut bertanggungjawab menjaga pelbagai kebajikan dan pembangunan 121 kampung Orang Asli.

Mengulas lanjut, Hasnan berkata antara bantuan yang diberikan ialah penyediaan makanan dan minuman kepada ibu bapa dan anggota keluarga terdekat di SK Tohoi sepanjang operasi SAR berkenaan.

“Kami juga menyediakan bekalan minyak motosikal kepada 20 anggota lelaki keluarga mangsa yang telah diminta membantu Jakoa untuk berulang-alik dari kampung mereka di Kampung Gawin dan Penad ke Tohoi bagi mengesan kemungkinan murid berkenaan pulang ke kampung mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata tiga pegawai JAKOA ditugaskan bagi membantu menguruskan hal kebajikan dan pentadbiran di lokasi selain khidmat kaunseling, makanan serta bantuan kewangan.

Dalam pada itu, kakitangan JAKOA yang mahir berbahasa Temiar turut ditempatkan untuk menjadi jurucakap bagi memudahkan komunikasi dan kerjasama antara keluarga mangsa, penduduk dengan pasukan keselamatan.

Bagi kebajikan ibu bapa dan pengiring yang sedang menjaga dua kanak-kanak yang ditemui selamat, Hasnan berkata JAKOA menyediakan peruntukan untuk makanan, minuman, pakaian dan keperluan diri, penginapan dan pengangkutan.

“Seorang pegawai JAKOA juga ditempatkan di hospital untuk membantu menguruskan segala hal kebajikan dan pentadbiran bagi memastikan keluarga terlibat dijaga daripada pelbagai aspek khususnya khidmat kaunseling,” katanya.

Hasnan menegaskan Jakoa telah melakukan sebaiknya untuk semua pihak termasuk keluarga mangsa dan agensi keselamatan yang terlibat dalam pencarian itu dan berasa dukacita terhadap pihak yang mengambil kesempatan membuat tuduhan tidak berasas.

“JAKOA bersedia menerima sebarang cadangan, komen membina atau penambahbaikan serta meningkatkan tahap sistem penyampaian perkhidmatan kepada Orang Asli keseluruhannya,” katanya. — Bernama


Tragedi SK Tohoi: JAKOA Sediakan Bantuan, Keperluan Kepada Keluarga Mangsa Tragedi SK Tohoi: JAKOA Sediakan Bantuan, Keperluan Kepada Keluarga Mangsa Reviewed by uMieySurianie on October 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.