Gambar hiasan |
KUCHING – Sebanyak 610 pusat pemindahan banjir disediakan di seluruh negeri untuk menghadapi kemungkinan banjir akhir tahun ini dan awal tahun depan.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata pusat-pusat pemindahan itu adalah 177 di Kuching, Samarahan (51), Sri Aman (38), Betong (14), Sarikei (30), Sibu (48), Mukah (28), Kapit (32), Bintulu (58), Miri (109) dan Limbang (25).
Di samping itu, katanya sebanyak 164 pembekal telah dilantik untuk membekalkan makanan, minuman serta keperluan lain kepada mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan banjir berkenaan.
Seperti tahun lepas, kata beliau sebanyak 25 pangkalan hadapan, iaitu tempat bagi penyimpanan barang-barang makanan serta keperluan lain turut disediakan.
“Pangkalan hadapan ini amat diperlukan kerana jika berlaku banjir dan kita putus hubungan jalan raya maka barang-barang dari situ dapat kita segera hantar ke pusat-pusat pemindahan tanpa perlu didatangkan dari pusat bandar yang jauh,” katanya.
Fatimah berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau latihan dan simulasi bencana peringkat negeri Sarawak di Kampung Batu Kitang Jaya dekat sini hari ini.
Menurut beliau pangkalan hadapan itu berada di lokasi antara dua atau tiga kilometer dari pusat pemindahan banjir.
Katanya, selain bantuan makanan dan minuman, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan turut memberi bantuan lain termasuk peralatan memasak, peralatan untuk tidur, khemah dan sebagainya.
Sementara itu, Fatimah berkata dari Jan hingga Oktober tahun ini Jabatan Kebajikan Negeri Sarawak telah membelanjakan RM3.7 juta sebagai bantuan kepada seramai 152,895 orang mangsa lima jenis bencana, iaitu kebakaran, tanah runtuh, rebut, banjir dan kemarau berbanding RM4.5 juta sepanjang tahun lalu.
Katanya, dalam tempoh itu keseluruhan 782 kes bencana membabitkan 14,726 keluarga dilaporkan di negeri ini, dengan kemarau mencatatkan bilangan mangsa teramai iaitu 79,064 orang, diikuti banjir (69,530), ribut (1,993), kebakaran (1,757) dan tanah runtuh (551). – BERNAMA
610 Pusat Pemindahan Dibuka Bagi Hadapi Banjir Di Sarawak
Reviewed by uMieySurianie
on
November 22, 2015
Rating:
No comments: