KUCHING: Kerajaan negeri tetap akan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi kedua di negeri ini terutama dalam urusan rasmi kerajaan meskipun menerima kritikan daripada pelbagai pihak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata Sarawak perlu mengadaptasi penggunaan bahasa Inggeris untuk mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Ada segelintir pencinta bahasa yang tidak bersetuju dengan langkah ini dengan mengatakan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa penjajah.
“Ya, memang orang Inggeris pernah menjajah kita tetapi bahasa ini merupakan bahasa antarabangsa yang harus kita kuasai.
“Ramai graduan kita gagal mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat besar kerana tidak fasih berbahasa Inggeris dan kebanyakan daripada mereka adalah daripada kalangan Melayu.
“Sebab itu, kita mesti menggunakan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
Tambah Adenan lagi, Sarawak boleh menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dalam urusan rasmi kerajaan dan ia tidak melanggar perlembagaan.
“Hanya Sabah ketika itu yang telah menandatangani perlembagaan sebagai persetujuan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan.
“Tetapi kita tidak menandatanganinya dan secara teknikalnya kita boleh menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi kedua,” ujarnya.
Susulan langkah itu, kerajaan negeri akan memperkenalkan pelbagai program bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat terutama di kawasan luar bandar.
“Kita sedar terdapat kekangan untuk rakyat di luar bandar menguasai bahasa Inggeris dan sebab itu kita akan memperkenalkan banyak program pengukuhan bahasa Inggeris.
“Tetapi sebelum program-program ini dilaksanakan kita perlu mengiktiraf bahasa Inggeris itu terlebih dahulu,” ujarnya.
Forum itu merupakan edisi yang keempat selepas penganjuran di Mukah, Miri dan di salah sebuah hotel terkemuka di sini sebelum yang terakhir bagi tahun ini di BCCK semalam.
Forum ini merupakan anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) dan Unit Pembangunan Tenaga Kerja, Jabatan Ketua Menteri.
Sempena forum itu semalam, Adenan turut menasihati belia Sarawak supaya berpegang kepada falsafah ‘What Ever You Do, Do It Well’ dalam apa jua perkara yang mereka lakukan.
“Sesiapa sahaja kita sama ada Ketua Menteri atau orang di jalanan pastikan anda melakukan sesuatu secara terbaik dan saya berharap belia di negeri ini akan dapat melakukan ini sebagaimana saya percaya akan falsafah ini,” pesannya di hadapan kira-kira 5,000 belia.
Turut hadir pada forum itu, Pengerusi TEGAS merangkap Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol serta yang lain.
Forum semalam turut menampilkan tiga lagi ikon belia sebagai penceramah iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Positive Impressions Mohamad Ariff Irwani Azahari, Jurugambar Zung dan pendaki Gunung Everest pertama Malaysia Datuk Magendran M. Munisamy. - UB
Bahasa Inggeris Bahasa Komunikasi Kedua Sarawak
Reviewed by uMieySurianie
on
November 22, 2015
Rating:
No comments: