Seo Services

Perbuatan Membuli Harus Dibendung Sebelum Terus Menular


KUCHING: Perbuatan membuli dalam kalangan pelajar sekolah harus dibendung sebelum ia terus menular dan menjadi budaya lazim masyarakat kita hari ini.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, perbuatan tersebut tidak mendatangkan situasi menang-menang, meskipun mangsa dibuli kerana telah melakukan kesalahan lain.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video kejadian buli yang viral di laman Facebook yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Sematan, baru-baru ini.

“Kebiasaannya, kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah adalah berpunca daripada perasaan tidak puas hati sesama pelajar.

“Dalam kes yang berlaku di sebuah sekolah menengah asrama di Sematan, saya difahamkan bahawa mangsa dibuli kerana mencuri barang milik pembuli.

“Hal ini bukanlah satu situasi menang-menang, ia adalah situasi kalah-kalah kerana membuli akibat mahu membalas dendam juga merupakan satu kesalahan,” katanya kepada pemberita.

Tegas beliau, perkara seumpama itu seharusnya mendapat pemantauan yang lebih rapi daripada orang dewasa, seperti ibu bapa dan warga sekolah termasuk pengetua, penolong kanan hal ehwal murid mahupun guru.

Katanya pelajar tidak boleh mengambil tindakan sendiri sebaliknya melaporkan setiap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar lain kepada pihak pengurusan sekolah.

“Dalam video itu, kita dapat lihat mangsa tidak melawan ketika ditampar dan dipukul dan bahasa tubuh yang ditunjukkan mungkin benar mangsa ada melakukan kesalahan terhadap pembuli.

“Tetapi ingin saya ingatkan setiap pelajar di sini supaya tidak bertindak melulu tanpa pengawasan orang yang lebih dewasa. Sentiasa merujuk guru dalam apa juga keadaan sekalipun,” katanya.

Tambahnya, individu yang membalas dendam kebiasaannya dikawal perasaan marah dan ia boleh menjurus ke arah perkara yang lebih teruk berlaku.

Beliau juga menasihati orang yang berada di sekeliling kawasan kejadian untuk tidak menjadi batu api dan memburukkan lagi keadaan.

“Saya menyelar tindakan individu lain yang mengambil video kejadian buli itu dan memuat naik video tersebut di Internet untuk tujuan viral.

“Anda sepatutnya membantu menghentikan perbuatan itu atau terus melaporkannya kepada guru bertugas,” tegasnya.

Empat pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Sematan telah ditahan kelmarin bagi membantu siasatan berhubung video buli yang kini tersebar di laman sosial. - UB
Perbuatan Membuli Harus Dibendung Sebelum Terus Menular Perbuatan Membuli Harus Dibendung Sebelum Terus Menular Reviewed by uMieySurianie on November 22, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.