Seo Services

Selisih Faham Mengenai Teman Lelaki Punca Buli


LUNDU: Siasatan awal polis terhadap kes buli di sebuah sekolah menengah di Samatan, dekat sini yang menjadi viral di laman sosial didapati berpunca daripada perselisihan faham mengenai teman lelaki.

Demikian menurut Ketua Polis Daerah Lundu DSP Wong Chee Keong selepas keempat-empat suspek berusia 16 tahun yang ditahan petang Jumaat lepas disoal siasat.

Bagaimanapun, keempat- empat suspek yang kesemuanya merupakan pelajar perempuan di sekolah berkenaan ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham mengenai teman lelaki tetapi siasatan lanjut masih dijalankan dan keempat-empat suspek direman selama tiga hari untuk membantu siasatan,” kata Wong.

Tambah beliau kes tersebut disiasat sebagai rusuhan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Polis selain itu memohon kepada masyarakat agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang boleh mengganggu siasatan polis.

Keempat-empat pelajar terbabit ditahan selepas polis menerima laporan berhubung penyebaran satu video yang memaparkan insiden tersebut yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.

Video berdurasi dua minit 52 saat yang dirakam menggunakan telefon bimbit itu menunjukkan aksi dua pelajar perempuan menampar seorang lagi pelajar perempuan sebelum menghentak kepalanya ke dinding.

Sementara itu, warga maya melalui laman Facebook Utusan Borneo rata-rata mengutuk tindakan pelajar berkenaan yang dianggap tidak berperikemanusiaan serta memalukan dan mahu tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“Tindakan tegas perlu diambil…hantar ke pusat pemulihan akhlak sebagai pengajaran kepada pelajar-pelajar lain,” komen Joehairi Median yang dipetik daripada laman Facebook Utusan Borneo.

Selain itu, terdapat juga warga maya yang memuji tindakan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu yang berjaya menangani kes tersebut dengan segera.

“Tahniah kepada pihak polis, semoga pelajar ini diberi pengajaran secukupnya…,” kata pemilik akaun Facebook Prishyella Richard. - UB

Selisih Faham Mengenai Teman Lelaki Punca Buli Selisih Faham Mengenai Teman Lelaki Punca Buli Reviewed by uMieySurianie on November 22, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.