Foto: Sarawak Football Team (SFT) |
KUCHING: Sarawak mengorak langkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2015 apabila terikat 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Baharu malam tadi.
Sarawak yang beraksi dengan cemerlang di gelanggang lawan menyentapkan semangat JDT dalam perlawanan baharu berusia sembilan minit apabila Hairol Mokhtar menjaringkan gol awal namun jaringannya dibatalkan kerana ‘offside’.
Begitupun, Sarawak dikejutkan dengan jaringan pasukan tuan rumah, JDT pada minit ke-37 menerusi sentuhan berbisa Amirul Hadi.
Ketinggalan 1-0, Sarawak tidak patah semangat dan terus melancarkan beberapa serangan ke kubu JDT namun gagal menemui penyudah berkesan.
Sehingga wisel penamat babak pertama dibunyikan oleh pengadil perlawanan Sarawak ketinggalan 1-0.
Bagaimanapun, babak kedua pasukan Ngap Sayot bangkit untuk menyamakan kedudukan apabila pemain importnya, Patrick Nyema menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47.
Manakala pada minit ke- 54, Sarawak hampir-hampir menambah jaringan menerusi sentuhan Tommy Mawat namun rembatannya tersasar.
Dalam keghairahan Sarawak mengasak, JDT cuba melakukan serangan balas dan S Chanturu hampir-hampir menewaskan penjaga gol Sarawak, Mohd Iqbal pada minit ke-61.
Sarawak menguatkan jentera serangan dengan memasukkan Ivan Fatic pada minit ke- 72 dan mengeluarkan Mohd Shahrol Saperi manakala Nur Sharmie menggantikan Partiban Janasekaran pada minit ke-76.
Mini t ke-86, pemain kebangsaan Amri Yahya melakukan percubaan namun bola rembatannya tersasar ke gawang Sarawak.
Bagaimanapun, perlawanan berakhir dengan keputusan terikat 1-1 sekali gus membolehkan Sarawak mengekori JDT ke peringkat suku akhir bertemu Selangor.
Perlawanan suku akhir pertama berlangsung di Stadium Negeri Kuching pada 24 November ini dan Sarawak bertandang ke Stadium Shah Alam, Selangor pada 28 November. - UB
Sarawak Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2015
Reviewed by uMieySurianie
on
November 22, 2015
Rating:
No comments: