KUALA LUMPUR: "Siapa yang sanggup jadi gelandangan tidur beralaskan kotak atau surat khabar dan berbumbungkan langit? Awak sanggup?," jawab seorang pemuda berusia 27 tahun apabila diajukan soalan mengapa hidup sebagai gelandangan.
Berbual tentang kehidupan, pemuda bertubuh kurus, yang hanya ingin dikenali sebagai Chiko, tahu masyarakat memandang hina kepada dirinya dan golongan gelandangan, yang dikatakan mencemar kawasan bandar dan menyusahkan masyarakat.
Berasa terkilan dengan sikap masyarakat yang gemar melemparkan tohmahan tanpa mencungkil dan menyelami punca mereka hidup sedemikian, Chiko berkata mereka tiada pilihan lain.
"Sudah tentu saya tidak mahu menjadi gelandangan. Jika saya mampu, sudah tentu saya mahu duduk di rumah yang selesa, mempunyai kelengkapan dan segalanya. Orang tidak faham yang saya tiada pilihan. Hina sangatkah saya menjadi gelandangan? Apakah saya ini mengganggu mereka?
"Saya tidak meminta-minta sebaliknya saya hanya tumpang berteduh di kaki lima untuk melepaskan penat, salahkah? Kalau ada yang datang memberikan makanan Alhamdulillah, saya terima. Tetapi untuk meminta-minta bukan cara saya," katanya.
Chiko adalah antara 30 gelandangan yang ditemui Bernama dan sukarelawan daripada kelab permotoran Vios Zero Seven (VZS), di kaki lima sebuah bangunan di kawasan Lebuh Ampang baru-baru ini.
Ramai di antara mereka berasa gembira apabila ada masyarakat sudi mendengar dan berkongsi cerita, serta memberi motivasi kepada mereka.
PUNCA GELANDANGAN
Meskipun dilabel 'pemalas' oleh sebilangan orang kerana sering mengharapkan bantuan, golongan gelandangan sebenarnya menyimpan 1001 impian.
Dalam keadaan di luar kemampuan itu, sebilangan mereka mengharapkan pekerjaan tetap untuk menjamin masa depan, ada pula mahukan pekerjaan bersekali penginapan dan yang mungkin mempunyai pekerjaan mahu menggandakan pendapatan untuk menampung keperluan semasa termasuk menyewa rumah.
Chiko memberitahu ramai di kalangan rakan-rakan gelandangan mempunyai pekerjaan, namun gaji yang diterima kecil menyebabkan mereka tidak mampu menyewa bilik apatah lagi rumah, memandangkan kadar sewaan semasa yang tinggi.
"Pekerjaan kami ini kebanyakannya biasa-biasa sahaja seperti pekerja kontrak, pembantu restoran dan pengawal keselamatan. Kami sudah habis menconggak perbelanjaan, namun tidak mampu menyewa.
"Sudahnya kaki lima inilah 'rumah kami'... kami dah lali dengan cemuhan ramai orang yang berkata kami ini pemalas dan hanya menunggu untuk 'disuap' oleh orang ramai. Hakikatnya, mereka yang melabel kami bermacam-macam ini tidak pernah bergaul dengan kami dan hanya memandang dari jauh," katanya.
DISISIH KELUARGA
Gelandangan wanita yang ingin dikenali sebagai Su, 38, berkata terdapat pelbagai punca yang menyebabkan mereka menjadi gelandangan seperti disisihkan keluarga, ditipu majikan, sunyi, yatim piatu, kos menyewa mahal dan tiada pekerjaan.
"Saya sendiri ditipu oleh majikan... kerja ditawarkan itu memang ada, tetapi gaji saya sudah tiga bulan tidak dibayar. Jadi, bagaimana saya nak membantu keluarga di kampung yang juga susah sedangkan untuk menyewa bilik pun saya tak mampu," katanya.
Su, yang dipinggirkan oleh adik beradik selepas kematian bapanya, berkata: "Ibu tahu saya menjadi gelandangan dan dia sedih. Namun apakan daya... saya telah terangkan keadaan kepada ibu mengapa saya menjadi sebegini."
Tanpa berselindung, Chiko yang merupakan anak jati Kuala Lumpur memberitahu konflik keluarga yang dialami memaksanya menjadi gelandangan sejak berusia 20 tahun bagi mencari ketenangan.
"Tanpa disedari sudah tujuh tahun saya menjadi gelandangan... Konflik keluarga memaksa saya menjadi gelandangan dan inilah dunia saya sekarang. Saya tidak merungut," katanya yang pernah dicaci, ditendang malah ditangkap oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Hanya bekerja sebagai pembantu restoran dengan gaji RM600 sebulan, Chiko berkata beliau pernah menyewa sebuah bilik sebelum ini tetapi kadar sewaan yang semakin mahal menyebabkannya tidak mampu untuk bertahan dan memaksa beliau kembali hidup di jalanan.
Bagi Ah Fatt, 60, pula kehidupan sunyi kerana disisihkan anak-anak selepas kematian isteri lima tahun lalu membuatkannya memilih untuk menjadi gelandangan.
Katanya kehidupannya sebagai gelandangan banyak terisi dengan cerita suka dan duka yang dikongsi bersama rakan-rakan di kala malam menjelma.
"Saya suka hidup macam ini kerana saya ada kawan-kawan... saya tidak susahkan orang. Di sini kami makan sama-sama dan boleh berbual. Soal makan, tak ada masalah kerana akan ada orang yang baik hati akan bantu dan kalau pasal kesihatan, saya akan minta rakan-rakan bantu bawa pergi klinik kerajaan jika sakit," katanya.
BERI MOTIVASI
Usaha menangani isu gelandangan harus ditangani bersama pelbagai pihak termasuk sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan seperti yang dilakukan oleh VZS.
Presiden VZS Mohd Fadli Ab Hamid berkata kehidupan golongan gelandangan harus diselami oleh semua lapisan masyarakat.
"Kita amat simpati dengan nasib mereka dan dalam masa sama kita cuba memberikan semangat untuk mereka supaya terus berusaha menggandakan pendapatan agar dapat menikmati kehidupan lebih baik.
"Ada di kalangan mereka meminta saya mencarikan mereka apa jua pekerjaan dan VZS akan cuba membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai. Saya mohon kepada mana-mana majikan, berilah peluang dan ruang kepada mereka ini... bantulah selagi boleh," katanya kepada Bernama.
Program amal VZS, yang melibatkan 20 sukarelawan itu antara lain menyediakan 500 pek makanan dan minuman untuk golongan gelandangan sekitar Lebuh Ampang, Masjid Negara, Pudu dan Chow Kit.
"Kita berpuas hati dengan program ini dan kita berharap semua motivasi yang diberikan akan menjadi pemangkin semangat untuk mereka bangkit. Kita berharap masyarakat agar tidak terus menghukum mereka tanpa mengetahui kisah kehidupan mereka," katanya.
-- BERNAMA
Bantulah Gelandangan Membina Kehidupan Lebih Baik
Reviewed by Unknown
on
November 26, 2015
Rating:
Reviewed by Unknown
on
November 26, 2015
Rating:

No comments: