Seo Services

Kerajaan Kaji Semula Jumlah Denda Akta Alam Sekitar 1974


KUCHING: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengkaji semula denda di bawah Akta Alam Sekeliling 1974 terutama kompaun sebagai tindakan tegas menangani kebakaran hutan di negara ini.

Menterinya Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia kerana denda atau kompaun dikena mereka didakwa di bawah akta itu masih pada skala kecil dan tidak selaras keadaan semasa.

“Kita menerima maklum balas masyarakat bahawa hukuman atau kompaun dikenakan tidak begitu tegas. Mereka memohon agar undang-undang berkenaan dilihat semula supaya kompaun ditingkat.

“Di bawah akta ini, hukuman denda sehingga RM500,000 namun kompaun hanya dikenakan RM2,000 sahaja jika disabit kesalahan,” katanya.

Jelasnya, ramai yang berpendapat, jumlah itu agak rendah serta tidak relevan lagi dengan masa kini,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Negeri di Medan Niaga Satok di sini, semalam.

Sehubungan itu kata Wan Junaidi, beliau bersama pegawai dari kementerian melihat semula undang-undang berkenaan dengan menyelaras jenis hukuman mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

Katanya kajian itu dalam proses dan kementerian juga mengkaji dan melihat beberapa undang-undang berkaitan kerana kebanyakan undang-undang sedia ada wujud sejak 70-an dan 80-an dan hukuman tidak selaras dengan tahun 2015.

“Bagaimanapun proses undang-undang ini bukan perkara mudah untuk dilaksana kerana banyak perkara perlu diambil kira termasuk industri, komuniti, agensi kerajaan terlibat selain kerajaan negeri dan sebagainya,” kata Ahli Parlimen Santubong itu.

Sementara itu, terdahulu dalam ucapannya Wan Junaidi berkata, dalam tempoh 1 Januari hingga 27 Oktober 2015, sebanyak 3,591 kes pembakaran terbuka telah dikesan melibatkan kawasan hutan iaitu 603 kes, pertanian (1,216 kes) serta industri (21 kes).

Selain itu tapak pembinaan sebanyak 82 kes, tapak pelupusan sampah (97), belukar (694) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (878).

“Bagi tempoh sama sebanyak 227 kes telah dikompaun, 16 kes dikeluarkan Notis Arahan, 42 kes Surat Arahan dan 23 Kertas Siasatan sedang dilengkapkan untuk tindakan mahkamah,” katanya.

Hadir sama majlis Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak Azuri Azizah Saedon, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak Paza Dan serta isteri Wan Junaidi, Datin Seri Feona Junaidi.-UB



Kerajaan Kaji Semula Jumlah Denda Akta Alam Sekitar 1974 Kerajaan Kaji Semula Jumlah Denda Akta Alam Sekitar 1974  Reviewed by Unknown on November 01, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.