PERNAHKAH anda melihat sungai dibina di atas sungai? Satu binaan hasil kejuruteraan Jerman, Jambatan Air Magdeburg (Magdeburg Water Bridge) telah merealisasikannya.
Jambatan yang dibuka pada Oktober 2003 ini menghubungkan Terusan Elbe-Havel dan Terusan Mittelland yang merentasi Sungai Elbe di Jerman.
Jambatan ini terkenal kerana ia merupakan jambatan air terpanjang di dunia dengan jarak sepanjang 918 meter (3012 kaki). Laluan yang dibina merentasinya bukan sahaja boleh dilalui bot-bot kecil tetapi juga kapal-kapal kargo yang mempunyai saiz lebih besar.
Tujuan Jambatan Air Magdeburg dibina pada asalnya adalah sebagai salah satu alternatif bagi memendekkan perjalanan pengangkutan barang-barang komersial antara timur dan barat Jerman sejauh 12 kilometer.
Selain itu, jambatan ini dibina bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi selama ini iaitu paras air sungai Elbe yang rendah sehingga menjejaskan kegiatan kargo apabila cuma tongkang-tongkang kecil dapat melaluinya sekaligus membuatkan masa diambil terlalu lama.
Pada asalnya pembinaan jambatan ini bermula pada awal 1930 tetapi terhenti seketika disebabkan Perang Dunia II dan Perang Dingin.
Hanya selepas penyatuan semula Jerman Barat dan Jerman Timur, barulah pembinaan jambatan ini dikaji semula seterusnya kerja pembinaan disambung pada 1997.
Jambatan Air Magdeburg akhirnya siap pada tahun 2003 dan mencatat rekod jambatan air terpanjang di dunia. -MYNEWSHUB.CC
Kisah Terbinanya Jambatan Air Terpanjang Di Dunia
Reviewed by uMieySurianie
on
November 22, 2015
Rating:
No comments: