gambar - Bernama |
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Presiden Barack Obama berkata walaupun Amerika Syarikat akhirnya akan mengalahkan militan Negara Islam (IS) dan "ideologi putar belitnya", tetapi peperangan terhadap keganasan tidak ditujukan terhadap sebarang agama tertentu.
"Amerika Syarikat tidak boleh memerangi mana-mana agama kerana rakyatnya sendiri terdiri daripada pelbagai agama, yang sejak sekian lama telah mengukuhkan kedudukannya," katanya pada sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air setelah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, Ahad.
"Kami tidak akan berundur kerana takut atau bergaduh sesama sendiri atau melayan seseorang dengan cara berbeza kerana agama, bangsa atau latar belakang mereka. Ia mengkhianati nilai kami dan menguntungkan propaganda IS.
"Kami perlu menafikan dengan sepenuhnya bahawa kami memerangi sesuatu agama secara menyeluruh. Amerika Syarikat tidak akan berperang dengan mana-mana agama secara khusus kerana ia mempunyai pelbagai agama. Kami diperkukuhkan oleh rakyat daripada setiap agama, termasuk umat Islam Amerika," jelas beliau.
Obama menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan terus bekerjasama dengan sekutunya di seluruh dunia - dari Perancis hinggalah ke negara di rantau ini, termasuk Malaysia - untuk memerangi dan mengalahkan IS, yang baru-baru ini mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan ganas di Paris pada 13 Nov, yang mengorbankan 127 orang.
Menyifatkan kumpulan ganas itu sebagai 'sekumpulan pembunuh', Obama berkata IS tidak akan berjaya menyemai perasaan takut dalam minda manusia atau menjadikan manusia lupa kepada nilai-nilai yang menjadi pegangan mereka.
"Prejudis dan diskriminasi membantu IS serta melemahkan nilai kita. Kita tidak boleh mengalahkan kepadanya," kata presiden itu.
Beliau menegaskan lagi bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya akan bersama-sama berusaha menyekat pembiayaan untuk kumpulan pengganas itu, memburu pemimpinnya serta melumpuhkan rangkaian dan saluran bekalan mereka.
"Kami akan mengalahkan mereka akhirnya," kata beliau dan menjelaskan bahawa keamanan dan keharmonian akan mengatasi nilai kebencian dan diskriminasi yang disebarkan kumpulan pengganas.
Obama juga mengingatkan tentang perlunya bagi setiap negara menghantar isyarat bahawa perniagaan penting di dunia tidak terhenti disebabkan serangan jahat kumpulan pengganas.
Katanya, setakat ini, lebih 65 negara, termasuk Malaysia, berganding bahu dalam Gabungan Menentang IS yang diterajui Amerika Syarikat.
Obama berkata sebuah pusat memintas mesej melalui komunikasi akan diwujudkan di Malaysia untuk memerangi penyebaran ideologi IS, sama seperti yang sudah beroperasi di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Ini di samping usaha yang dilakukan negara lain seperti Arab Saudi dan Itali dalam melumpuhkan dan menyekat penyebaran pengaruh IS serta pihak yang bersimpati dengannya, kata beliau.
-- BERNAMA
Perang Tidak Ditujukan Terhadap Agama Tertentu - Obama
Reviewed by Admin
on
November 22, 2015
Rating:
No comments: