Seo Services

Komuniti Global Iktiraf Sumbangan Besar Malaysia Kepada ASEAN


KUALA LUMPUR - Komuniti global mengiktiraf sumbangan besar Malaysia kepada ASEAN dalam memupuk hubungan erat dalam kalangan negara anggota pertubuhan itu dan penggiat antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Malaysia memperoleh markah tinggi kerana kejayaannya mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, sekali gus meningkatkan imejnya di persada antarabangsa.

Menurut Najib, walaupun beliau telah menghadiri banyak sidang kemuncak kebelakangan ini, namun Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 adalah yang paling bermakna apabila 18 pemimpin membincangkan pelbagai isu besar dan perkembangan lain yang berlaku di seluruh dunia.

"Saya menyifatkannya (Sidang Kemuncak ASEAN ke-27) sebagai Sidang Kemuncak ASEAN paling berjaya. Malah, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon sanggup datang dari New York hanya untuk sehari bagi menghadiri sidang kemuncak ini.

"Itu menunjukkan betapa meningkatnya pengiktirafan global terhadap ASEAN. Ia bukan semata-mata sebuah pertubuhan serantau, tetapi telah mencapai tahap di mana dunia mengiktiraf kepentingannya," kata beliau pada sidang akhbar setelah berakhirnya Sidang kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada Ahad.

Sebagai rakyat Malaysia, kata Najib, beliau amat bangga apabila dimaklumkan bahawa pelbagai pihak memandang begitu tinggi terhadap Malaysia dan ini merupakan suatu sumbangan dalam membina imej negara di peta dunia.

"Bagi Malaysia, sebagai tuan rumah dan pengerusi ASEAN, seluruh proses Sidang Kemuncak ASEAN telah mencapai kejayaan dari segi menangani cabaran semasa dan isu ektremisme keganasan serta semangat kebersamaan global," katanya.

Ditanya tentang bagaimana Malaysia merancang untuk menjadikan rakyatnya faham tentang Komuniti ASEAN, Najib berkata: "Apabila kita bercakap tentang komuniti ini, terdapat tiga tonggak (politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya) dan kita telah mencapai kejayaan besar dalam mengurangkan tarif ke tahap sifar atau hampir sifar.

"Kita juga mencapai kemajuan dan pertumbuhan ekonomi yang hebat dalam bidang ini, dan kini, ASEAN dilihat sebagai rantau paling dinamik di dunia."

Kata beliau, di samping mencapai kemajuan ekonomi secara kukuh dalam Komuniti ASEAN, beliau berpendapat warga ASEAN juga perlu memiliki semangat berkomuniti di dalam hati dan minda masing-masing.

"Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapainya, tapi ia bukan sesuatu yang sukar bagi kita," katanya.

BERNAMA
Komuniti Global Iktiraf Sumbangan Besar Malaysia Kepada ASEAN Komuniti Global Iktiraf Sumbangan Besar Malaysia Kepada ASEAN Reviewed by Unknown on November 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.