Seo Services

Harga Barang Turun

TURUN HARGA: Tan (kanan), Naroden (tengah) dan Pengurus Survey Hypermarket Kenny Chia (kiri) menunjukkan antara jenis barang keperluan yang ditawarkan diskaun dalam Kempen Penurunan Harga 2015 di Survey Hypermarket di Kuching, semalam.
KUCHING: Meringankan beban kos sara hidup rakyat terus menjadi keutamaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak apabila melancarkan Kempen Penurunan Harga 2015 di Survey Hypermarket di sini, semalam.

Menurut Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan, sebanyak 41 jenis barang keperluan ditawarkan diskaun dalam kempen tersebut dengan tempoh sehingga akhir tahun ini.

“Tujuan kempen adalah bagi meringankan beban pengguna dari segi harga barangan dengan kos yang berpatutan,” katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais.

Dalam pada itu, Tan berkata pihaknya juga telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pertemuan bersama pengilang, pemborong, pembekal, peniaga, persatuan serta NGO bagi membincangkan mengenai perkara yang mempengaruhi harga barang.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya turut melakukan operasi terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah.

“Setakat ini, sebanyak 114 notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan di seluruh Sarawak kepada peniaga yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah,” katanya.

Sementara itu, Naroden menyeru pengguna mengambil perhatian terhadap makluman penurunan harga barang agar dapat membuat perbandingan harga.

Jelas beliau selain langkah yang diambil kerajaan termasuk Kempen Penurunan Harga, pengguna masih perlu bersikap bijak dengan menggunakan kuasa sebagai pembeli.

“Sekiranya ada peruncit yang menjual melebihi harga yang ditetapkan, pengguna perlu menggunakan kuasa pengguna untuk tidak membeli di kedai itu.

“Tindakan demikian akan memberi tekanan kepada peruncit agar menurunkan harga barang mereka,” katanya. -UB
Harga Barang Turun Harga Barang Turun Reviewed by Unknown on November 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.