Seo Services

Kutip Derma Haram


SIBU: Lima individu dipercayai ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Komuniti Sibu Jaya ditahan kerana disyaki memalsukan dokumen berbentuk surat dari Pejabat Residen Bahagian Sibu untuk memungut derma daripada orang awam.

Suspek berumur antara 23 dan 56 tahun terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita ditangkap di sebuah rumah flat di Sibu Jaya pada jam 9.30 malam kelmarin.

Mereka dipercayai menyalah guna surat sokongan dikeluarkan Pejabat Residen Bahagian Sibu untuk memungut derma, kononnya bagi mendapat peruntukan untuk menjalankan bancian keluarga dan sosioekonomi penduduk Sibu Jaya.

Difahamkan, suspek mengutip derma daripada orang awam di bandar ini dan Sarikei tanpa permit atau lesen pungutan awam sejak satu hingga dua minggu lepas.

Mereka menggunakan surat sokongan dengan kepala surat Pejabat Residen Bahagian Sibu, selain dipercayai meniru tandatangan Timbalan Residen Sibu Dr Zulfar Yadi Brendan Abdullah untuk membolehkan mereka mengumpul wang daripada orang awam.

Perkara itu disedari Dr Zulfar pada jam 2 petang Rabu lepas selepas terbaca satu status seorang pengguna Facebook di Sarikei yang memuat naik gambar suspek-suspek dan viral.

Dalam status itu, pengguna tersebut menyatakan ‘Staff from Sibu Resident Office going around collecting money’ (Staf dari Pejabat Residen Sibu berjalan-jalan memungut wang).

Susulan laporan polis dibuat Dr Zulfar, pasukan polis Sibu Jaya berjaya menangkap lima individu tersebut dan perintah reman selama tiga hari terhadap mereka telah dibuat semalam.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Residen Sibu Hii Chang Kee menggesa orang ramai yang pernah menghulurkan derma berupa wang kepada suspek-suspek yang berkenaan agar tampil membuat laporan polis.

“Mereka bukan kakitangan kami. Saya tidak pernah mengarahkan mana-mana kakitangan Pejabat Residen memungut derma daripada orang awam,” kata Hii yang menyifatkan tindakan individu berkenaan sebagai menjejaskan nama baik Pejabat Residen Sibu. -UB
Kutip Derma Haram Kutip Derma Haram Reviewed by Unknown on November 27, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.