KUALA LUMPUR: Merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di sini hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan mengesankan mengenai ekstremisme dan keganasan, menegaskan bahawa penyelesaikan baharu perlu dicari untuk menangani masalah itu.
Berucap di hadapan pemimpin daripada seluruh Asia Tenggara, Perdana Menteri Malaysia berkata mungkin tindakan ketenteraan sahaja tidak memadai untuk menumpaskan mereka yang cenderung mencetuskan perang, huru-hara dan kematian serta kemusnahan dan kecelaruan.
"Ini merupakan ideologi yang diperjuangkan kumpulan ekstremis ini yang menjadi punca keganasan sadis ini, dan dalam tragedi kali ini, kita tidak boleh terlepas pandang akan hakikat bahawa ideologi itu sendiri perlu didedahkan dan begitu juga pembohongannya - dan menumpaskannya.
"Kerana ini tidak Islamik. Tidak sesekali begitu," kata Najib, yang juga Pengerusi ASEAN 2015, dalam ucapan yang disampaikan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di dini.
Perdana Menteri memulakan mukadimah ucapannya dengan merujuk kepada banyak nyawa yang terkorban akibat tindakan keganasan di tempat-tempat seperti Paris, Beirut, Sinai, selatan Filipina dan Mali.
Warganegara Malaysia, Bernard Then, 39, dilaporkan kepalanya telah dipenggal di kubu Abu Sayyaf di pedalaman Jolo, Wilayah Sulu, kira-kira 1,400km selatan Manila.
Then, jurutera elektrik dari Sarawak, dan seorang wanita, Thien Nyuk Fun, 50, diculik oleh empat lelaki bersenjata yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan pada 7.45 malam pada 14 Mei.
Sementara itu, kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab bagi beberapa tindakan keganasan, termasuk serangan terhadap sasaran-sasaran di Paris pada 13 Nov yang menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.
Menyentuh tentang kekejaman yang dilakukan itu, Najib berkata: "Bunuh diri - di bawah apa keadaan sekalipun, inikan pula pengebom berani mati yang membunuh begitu banyak orang yang tidak bersalah - merupakan dosa besar."
Perdana Menteri mengambil perhatian bahawa adalah wajar untuk mengkaji kenapa seseorang begitu terdorong untuk mengikut ideologi terpesong ini.
"Apa tujuan mereka? Kita perlu jelas - ia terang-terangan mempersendakan agama yang menganjurkan keamanan, keadilan dan kesederhanaan," kata Najib.
Pemimpin Malaysia itu yang senantiasa memperjuangkan konsep kesederhanaan, sering memperkatakan perkara itu di pentas global, termasuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Ini tidak terkecuali pada perhimpunan ASEAN, dengan beliau berkata: "Apa yang lebih diperlukan kini ialah konsep terakhir, kesederhanaan, yang amat kita perlukan di seluruh dunia. Kesederhanaan atau wasatiyah ialah 'jantung' Islam.
Beliau berkata ia merupakan suruhan dalam al-Quran yang perlu dipatuhi oleh orang Islam.
"Tetapi kesederhanaan bukan hanya milik kami. Ia merupakan pendekatan tidak ganas dalam menyelesaikan konflik yang telah terpahat dalam sejarah," katanya Najib.
-- BERNAMA
Najib Gesa Cari Penyelesaian Baharu Tangani Ekstremisme, Keganasan
Reviewed by Unknown
on
November 21, 2015
Rating:
No comments: