LUNDU: Empat pelajar sebuah sekolah menengah di Sematan ditahan petang semalam untuk membantu siasatan berhubung kes buli selepas satu video yang memaparkan insiden tersebut tersebar di laman sosial.
Video berdurasi dua minit 52 saat itu yang dirakam menggunakan telefon bimbit menunjukkan aksi dua pelajar perempuan menampar seorang lagi pelajar perempuan sebelum menghentakkan kepalanya ke dinding.
Selain itu, seorang lagi pelajar perempuan dan pelajar lelaki juga dilihat mengejek mangsa yang selepas itu terjatuh ke lantai selepas rambutnya ditarik.
Difahamkan, video tersebut telah dimuat naik ke laman Facebook dan mendapat komen daripada netizen yang mencela perbuatan pelajar-pelajar berkenaan dan mahu pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
Ketua Polis Daerah Lundu DSP Wong Chee Keong yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian dan seramai empat pelajar dari sekolah berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Laporan telah diterima dan kita sedang ambil tindakan untuk mengesahkan video tersebut.
“Buat masa ini, seramai empat pelajar yang disyaki terlibat telah ditahan dan kes disiasat sebagai rusuhan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” kata Wong.
Menurut Wong lagi, kesemua pelajar yang ditahan serta mangsa didapati berusia 16 tahun iaitu pelajar tingkatan empat di sekolah berkenaan.
“Mangsa dan suspek masing-masing berusia 16 tahun,” katanya yang turut memberitahu pihaknya masih menyiasat punca serta bila kejadian tersebut berlaku. -UB
Empat Pelajar Sekolah Menengah Di Sematan Ditahan
Reviewed by Unknown
on
November 21, 2015
Rating:
No comments: