Seo Services

Upacara Tarik Wang Yang Memesongkan Akidah

Hendak memiliki banyak wang, manusia sanggup melakukan apa cara sekalipun asal mendapat wang yang banyak termasuk mengikut upacara tarik wang. Upacara sedemikian telah lama diamalkan di negara jiran seperti Indonesia. Ada juga dikalangan orang Sarawak sudah terjebak dalam aktiviti menarik wang sejak 10 tahun yang lalu.

Ada yang beragama Islam turut terlibat walaupun diketahui ia menyimpang dari akidah Islam. Bagi mereka itu tidak penting asalkan mereka dapat memiliki wang yang banyak. Dalam upacara menarik wang memang terdapat benda yang diharam oleh Islam menjadi perkakas utama dalam upacara menarik wang.

Johari (bukan nama sebenar), 52 tahun, beliau terlibat dengan aktiviti menarik wang 9 tahun yang lalu dan sudah hampir 2 tahun beliau bertaubat dari melakukan aktiviti tersebut.

Menurut Johari, upacara menarik wang kebiasaannya dilakukan ketika malam menjelang Jumaat. Upacara tersebut dilakukan oleh seorang guru berasal dari tanah Jawa.

"Saya mula terpengaruh dengan menarik wang daripada kawan-kawan. Pada mulanya sukar untuk mempercayai semuanya," katanya.

"Saya seorang penjawat awam yang bermasalah dalam kewangan. Saya hairan melihat kawan yang setaraf dengan jawatan saya mampu membelanja kawan-kawan makan dan minum setiap waktu rehat serta tiap-tiap hari," tambahnya.

Johari cuba bertanya kepada rakan tersebut dan beliau menceritakan segala-galanya kepada Johari. Semakin hari Johari termakan dengan pujuk rakannya.

"Saya pertama kali mengikut kawan ke upacara menarik wang ke satu tempat tersembunyi. Terdapat seorang guru dan ada 5 orang sedang duduk mendepani guru tersebut," jelasnya.

Bermula dari situ Johari mula menjadi ahli kumpulan tersebut. Mereka berkongsi untuk memiliki perkakas yang perlu untuk menarik wang seperti kemenyan yang berharga RM3,800 sekilogram. Minyak Zafran RM28,000 sehingga RM40,000 sebotol. Kesemua barangan tersebut datang dari timur tengah dan keseluruhan barang milik mereka berjumlah RM300,000.

"Yang lebih penting adalah barang yang didapati daripada anggota babi dan ia sukar untuk diperolehi. Ia mampu di perolehi ketika babi berkubang dan meninggalkan sementara waktu," katanya

"Hanya anggota babi mampu menambah kuasa untuk upacara menarik wang. Entah bagaimana saya boleh terlepas perkara yang haram bagi umat Islam ketika itu," jelasnya lagi.

Bila ditanya tentang hasil diperolehi dari upacara menarik wang oleh wartawan SARAWAKIANA, Johari menjawab, selama mengikuti upacara tersebut hanya RM2,050 sahaja yang jumlah paling tinggi beliau dapat.

"Saya seolah-olah menjadi ketagih walaupun hasilnya tidak seberapa berbanding jumlah pelaburan yang begitu banyak," katanya.

"Lama kelamaan saya mula sedar apabila ada rakan yang cuba menasihati saya dan saya menghadapi masalah kewangan yang serius sehingga saya diisytihar muflis," katanya.

Johari berkata, beliau cuba menjauhi aktiviti berkenaan dengan mengikuti kawan yang menasihati beliau ke surau dan masjid.

"Pada hari ini saya berasa tenang dan bertaubat tidak akan mengikuti aktiviti yang menyimpang dari akidah Islam sebenar. Walaupun saya diisytihar muflis, namun saya tetap berdoa akan bebas dari muflis dengan mengikuti ajaran Islam sebenar," tambahnya.

Di akhir perbualan, Johari sempat berpesan agar umat Islam jangan mudah termakan pujuk rayu yang boleh menyebabkan akidah umat Islam terpesong. Walau payah bagaimana sekali pun kehidupan, hanya usaha dan berserah pada Allah SWT jalan penyelesaian kepada satu-satu masalah. - Sarawakiana
Upacara Tarik Wang Yang Memesongkan Akidah Upacara Tarik Wang Yang Memesongkan Akidah Reviewed by Admin on November 20, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.