Seo Services

Parlimen: SKMM Akan Nasihati MKN Berkenaan Aplikasi Sosial Dikaitkan Dengan Ancaman Luar- Jailani


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menasihati Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam hal aplikasi sosial yang dikaitkan dengan ancaman anasir luar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata ini kerana isu berkaitan ancaman luar walaupun melalui media sosial dan secara dalam talian adalah di bawah kawal selia MKN.

Katanya pihaknya terlibat untuk menasihati MKN dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan isu-isu komunikasi melibatkan media sosial dan aplikasi dalam talian.

"Sekiranya ada ancaman anasir luar akibat daripada pengggunaan aplikasi sosial seperti Google Map dan Waze bagi tujuan pencarian lokasi yang secara tidak langsung datanya telah dibekalkan kepada pihak luar, MKN wajar melihat perkara ini secara keseluruhan.

"Namun demikian, pihak KKMM sentiasa bekerjasama dengan agensi terlibat untuk menasihati MKN dalam aspek media sosial dan komunikasi," katanya.

Jailani berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Irmohizam ingin mengetahui tentang usaha kerajaan membendung kebocoran maklumat dan rahsia negara kepada pihak luar melalui penggunaan aplikasi Google Map dan Waze dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) berhubung tahap perlindungan data peribadi menerusi media sosial, Jailani berkata penggunaan Google Map dan Waze adalah tertakluk kepada polisi privasi antara pemberi perkhidmatan dan pengguna, terpulang kepada tahap penggunaan perkhidmatan itu.

"Pada masa sekarang pengguna gemar berkongsi data peribadi menyebabkan data mereka disalahgunakan. Tidak boleh diserahkan kesemua usaha kepada kerajaan semata-mata untuk diselesaikan.

"Pengguna sendiri perlu bijak dalam mengawal penggunaan media sosial dengan tidak terlalu mendedahkan data peribadi kepada umum," katanya.

Menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin(PKR-Bayan Baru) berkenaan usaha kerajaan membendung laman web yang mungkin mengancam keselamatan negara, Jailani berkata setakat ini pihaknya belum mendapat sebarang aduan mengenai perkara itu.

"Sekiranya ada permohonan daripada agensi dan kementerian mengenai perkara ini, kami akan bekerjasama dengan mereka membantu dari segi khidmat teknikal bagi membendung masalah ini," katanya.

-- BERNAMA
Parlimen: SKMM Akan Nasihati MKN Berkenaan Aplikasi Sosial Dikaitkan Dengan Ancaman Luar- Jailani  Parlimen: SKMM Akan Nasihati MKN Berkenaan Aplikasi Sosial Dikaitkan Dengan Ancaman Luar- Jailani Reviewed by Unknown on November 26, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.