Seo Services

Pembangunan Luar Bandar Sabah Tetap Keutamaan Kerajaan


KOTA KINABALU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan untuk terus memastikan pembangunan luar bandar khususnya di Sabah diberi keutamaan tinggi bagi memastikan rakyat di kawasan itu tidak terpinggir daripada arus kemajuan negara.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata rakyat di kawasan luar bandar merupakan tunjang dan kekuatan BN yang memberi kepercayaan penuh kepada gagasan itu untuk terus menerajui kerajaan sehingga sekarang.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab BN untuk memastikan rakyat di luar bandar mendapat perhatian penuh dan pembelaan sewajarnya agar kebajikan serta kesejahteraan mereka tetap terpelihara.

"Atas sebab itu, dalam Bajet 2016 yang telah saya bentangkan baru-baru ini, saya memberi penekanan dan keutamaan kepada pembangunan luar bandar (termasuk di Sabah)," katanya ketika berucap merasmikan persidangan tritahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini, Ahad.

Najib berkata Bajet 2016 yang mengandungi 130 'touch point' itu antara lain menggariskan peruntukan bagi pembangunan luar bandar termasuk peruntukan RM1.4 bilion bagi menaik taraf jalan sepanjang 700 kilometer seluruh negara, RM878 juta untuk projek bekalan elektrik membabitkan 10,000 rumah dan RM568 juta bagi projek bekalan air.

Najib berkata di Sabah, antara yang turut diberi tumpuan adalah pembinaan fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo meliputi 706 kilometer bermula dari Sindumin ke Tawau dengan anggaran kos RM12.8 bilion, dan setelah siap kelak, lebuh raya itu akan beroperasi tanpa bayaran tol.

Katanya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo akan membuka lembaran baharu kepada Sabah selain membolehkan pembukaan wilayah baharu di negeri itu menerusi jaringan jalan raya yang berupaya menghubungkan antara satu tempat dengan tempat lain.

Selain Lebuhraya Pan Borneo, Bajet 2016 turut menekankan keperluan lain di Sabah dan Sarawak termasuk pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services yang dikecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pedalaman dan keseragaman harga barangan.

Menurut Najib rakyat Sabah membuat keputusan yang tepat kerana memilih untuk bersama membentuk Malaysia selain memilih Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara.

Beliau turut berpuas hati dengan kerjasama diberi kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan akan terus memberi jaminan untuk berusaha memenuhi keperluan negeri ini bagi memberi keselesesaan kepada rakyatnya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah adalah bukti kerajaan prihatin dalam memperjuangkan kebajikan golongan itu serta yakin rakyat boleh membelanjakan bantuan itu sebaik-baiknya.

"Kita bagi (BR1M) untuk rakyat, rakyat dapat manfaat. (Kita) mesti juga ada keyakinan bagi rakyat berbelanja untuk kebajikan masing-masing sementara rakyat pula harus (menggunakan BR1M) dengan berbelanja betul," katanya. - BERNAMA
Pembangunan Luar Bandar Sabah Tetap Keutamaan Kerajaan Pembangunan Luar Bandar Sabah Tetap Keutamaan Kerajaan Reviewed by Unknown on November 02, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.