KUCHING : Projek Perindustrian Tebedu (TIE) di Tebedu, kira-kira 90 kilometer dari sini dan 650 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia, tidak dilaksanakan dengan memuaskan.
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya berkata selain gagal siap mengikut jadual, projek itu menyebabkan penambahan kos sebanyak 6.2 peratus atau RM3.83 juta daripada kos asal iaitu RM61.30 juta.
TIE ialah satu daripada 10 kawasan perindustrian di Sarawak yang membabitkan kos sebanyak RM1.26 bilion.
Ia bertujuan meningkatkan kerjasama ekonomi antara Tebedu di Sarawak dan Entikong di Kalimantan dalam merangsang pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) dalam aktiviti pembuatan berasaskan pertanian.
Ia juga bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan pembangunan sosio ekonomi kedua-dua pihak yang berjiran.
Ambrin berkata audit yang dijalankan pada April tahun ini mendapati projek itu gagal mencapai sasaran untuk memperbaiki dan meningkatkan aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.
"Tinjauan dan kerja-kerja kajian tanah tidak menyeluruh menyebabkan peningkatan kos dalam kerja-kerja meletupkan batu.
"Akibatnya, proses pembersihan tapak dan menimbus tanah tidak dapat dijalankan mengikut spesifikasi kontrak,"katanya dalam laporan itu.
Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mengambil tindakan untuk memastikan masalah perdagangan dan keselamatan di sempadan Tebedu-Entikong dipertingkatkan supaya kemudahan di TIE boleh digunakan untuk mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan.
"Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri harus mengukuhkan kapasiti dalam pengurusan projek terutama dalam kerja-kerja tinjauan dan siasatan tanah.
"Ini boleh mengelakkan peningkatan kos projek dan kerja-kerja yang dijalankan tidak mengikut spesifikasi yang boleh menyebabkan projek lambat siap," kata beliau.
-- BERNAMA
Projek Perindustrian Tebedu Tidak Memuaskan
Reviewed by Unknown
on
November 24, 2015
Rating:
No comments: