Kota Kinabalu: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan memberi kelonggaran kepada anak muda tempatan untuk menyertai pasukan keselamatan.
Bagaimanapun, proses akan dipermudahkan bagi mencapai hasrat kerajaan menambah bilangan anggota di kalangan rakyat negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan akan mengkaji dan mengambil jalan terbaik dalam menyelesaikan perkara itu.
"Saya tahu ramai belia tempatan berminat untuk menjadi anggota pasukan keselamatan tetapi perlu melepasi syarat yang ketat.
"Kita tidak akan melonggarkan syarat kepada anak muda negeri ini untuk menjadi anggota pasukan keselamatan, tetapi mempermudahkannya," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-30 di Sekolah Menengah (SM) Kian Kok, Likas, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalannya yang juga Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Terdahulu, Pairin dalam ucapan dasarnya berkata, anak muda tempatan berminat untuk menyertai pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM)dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi terbantut akibat syarat yang terlalu ketat.
Menurut Pairin, keadaan itu menyebabkan mereka gagal menyumbang bakti kepada negara.
"Kita berharap perkara ini dapat diberi perhatian sewajarnya kerana anak muda Sabah memang memiliki ketangkasan fizikal.
"Oleh itu, pertimbangan khas dan adil wajar diberikan kepada anak tempatan dalam bidang pertahanan tanpa sebarang diskriminasi," katanya. - H metro
Proses Nak Jadi Polis dan Askar Dipermudah
Reviewed by Admin
on
November 14, 2015
Rating:
No comments: