BAU: Sebanyak lima rumah terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Bunga Rampai di sini, petang semalam.
Menurut salah seorang mangsa, Hafsah Kassim, 28, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kediaman yang didiami bersama ibu bapa dan adik perempuannya bagaimanapun hanya mengalami kerosakan pada bahagian dapur.
“Tanah lereng bukit di belakang rumah kami runtuh selepas dua jam hujan lebat tanpa henti iaitu kira-kira jam 3.30 petang.
“Ketika itu, saya dan adik perempuan saya sedang berada di dapur kerana hendak memasak… ini merupakan kali pertama insiden mencemaskan seumpama ini berlaku,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Menurut Hafsah yang merupakan seorang jururawat, bomba turut ke tempat kejadian bagi meninjau runtuhan tanah lereng bukit tersebut.
“Bomba turut mengarahkan kami mengosongkan rumah ini demi keselamatan namun kami tidak ada tempat dituju.
“Buat masa ini, kami sekeluarga berkumpul di bahagian ruang tamu,” katanya.
Polis yang juga ke tempat kejadian memberitahu, akan merujuk insiden itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sementara itu menurut jurucakap bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 3.53 petang, seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bau diketuai PBT Karim Mohamad dikerahkan ke tempat kejadian.
Kejadian tanah runtuh itu katanya, membabitkan 33 mangsa di mana mereka dicadangkan berpindah ke Dewan Masyarakat Kampung Bunga Rampai.
“Terdapat lima rumah terlibat dalam kejadian berkenaan. Tanah belakang rumah menggelongsor turun dan menutupi bahagian dapur salah sebuah rumah berkenaan.
“Kesemua penghuni rumah sempat menyelamatkan diri dan lari ke rumah-rumah jiran berdekatan,” katanya.
Tidak ada gerak operasi dijalankan memandangkan keadaan selamat dan terkawal melainkan membuat pemantauan dan membantu mangsa-mangsa terlibat untuk berpindah.
Sementara itu, di Kampung Peninjau Baru, sekurang-kurangnya sembilan keluarga terjejas apabila kampung itu mula dinaiki air sedalam tiga kaki sekitar jam 4.10 petang.
Pasukan bomba turut berhadapan dengan kesukaran apabila seorang warga emas berusia 78 tahun enggan berpindah apabila kediamannya dinaiki air.
“Pasukan bomba terpaksa menggunakan tali untuk ke rumah tersebut berikutan air deras bagi memujuk warga emas itu untuk berpindah.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mahu pindah kerana air mulai surut dan keadaan selamat,” katanya.
Tidak ada sebarang pemindahan dibuat dalam kejadian itu yang dipercayai berlaku akibat air deras yang turun dari gunung susulan hujan lebat.
Difahamkan, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua insiden tersebut.-UB
Tanah Runtuh, Banjir Di Bau Akibat Hujan Lebat
Reviewed by Unknown
on
November 17, 2015
Rating:
No comments: