Seo Services

UNIMAS Jadi Pusat Ilmiah Dan Terulung Di Dunia


KUCHING: Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-19 membuka tirai semalam dengan penyampaian ijazah kepada graduan Pusat Pengajian Siswazah dan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif.

Majlis konvokesyen UNIMAS berlangsung dari 14 hingga 17 November itu diisytihar oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Canselor UNIMAS, semalam.

Tun Taib dalam ucapannya berkata, UNIMAS sentiasa di hadapan dalam menghadapi cabaran ilmiah masa kini malah menjadi universiti ternama di dunia kerana perencanaan serta inovasi mencapai hala tujunya.

Kata beliau, UNIMAS berjaya hari ini kerana sokongan serta dorongan ahli akademik yang tidak terbelenggu dalam kerangka disiplin akademik konvensional.

Tun Taib menjelaskan, barisan ahli akademik tidak pernah jemu meneroka ilmu sehingga terkenal dalam bidang masing-masing.

Graduan hari ini, kata beliau, bertuah kerana dapat menimba ilmu dengan ahli akademik di UNIMAS.

Beliau pada masa sama turut menegaskan, dalam menjadikan UNIMAS terus relevan, empat kunci utama harus dikekal iaitu komunikasi, kepimpinan melalui teladan, mendapatkan sokongan kakitangan dan penambahbaikan berterusan.

Berhubung graduan menerima ijazah masing-masing, Tun Taib berkata, mereka perlu menjadi graduan sentiasa mengejar dan mencari ilmu, berinovasi dan berakhlak mulia.

“Semangat waja perlu apabila kita dituntut untuk sentiasa kompetitif dengan pelbagai cabaran semasa datang dari dalam mahupun luar negara,” katanya.

Jelasnya, UNIMAS melengkapkan graduan dengan pelbagai ilmu untuk berjaya serta bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Tun Taib menasihat graduan agar tidak sekadar mencari pekerjaan tetapi memberanikan diri dan minda mencuba bidang lain.

Sementara itu Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 3,572 graduan prasiswazah dan 347 graduan siswazah berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

Daripada 347 graduan siswazah seramai 45 orang dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, menunjukkan kenaikan hampir tiga kali ganda berbanding penerima Ijazah Doktor Falsafah tahun lepas seramai 16 orang.

“Ia merupakan pencapaian memberangsangkan bagi sebuah universiti berusia 23 tahun.

“Sejak UNIMAS ditubuh, ia telah berjaya melahir 28,178 graduan secara keseluruhan sama ada pelajar negara ini termasuk 52 negara luar,” katanya.

Jelasnya, UNIMAS terus meningkatkan pengambilannya setiap tahun dan penambahan itu menjadi bukti bahawa UNIMAS sememangnya universiti pilihan pertama pelajar dari dalam dan luar negara bagi menyambung pengajian di peringkat prasiswazah dan siswazah.

Kadim berkata, pada sesi pengambilan 2015/2016 seramai 3,892 pelajar baharu mendaftar dan menjadikan keseluruhan enrolmen 17,226 orang menjangkaui sasaran 15,000 pelajar menjelang tahun ini.

Beliau memberitahu, pertambahan enrolmen itu juga apabila Pusat Pembelajaran Bersepadu Sibu Sarawak dan Pusat Pembelajaran Bersepadu untuk Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Program Pascasiswazah di Lembah Kelang beroperasi tahun ini. -UB-
UNIMAS Jadi Pusat Ilmiah Dan Terulung Di Dunia UNIMAS Jadi Pusat Ilmiah Dan Terulung Di Dunia Reviewed by Unknown on November 15, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.