Seo Services

JPAM Akan Tubuh Pasukan Penyelamat Kecemasan Di Pusat Rekreasi Seluruh Negara


KUALA PILAH : Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan menubuhkan Pasukan Penyelamat Kecemasan (PPK) di pusat rekreasi di seluruh negara bagi memberi bantuan awal kes kecemasan.

Ketua Pengarahnya Ogu Salim Omar berkata pasukan itu akan dianggotai empat hingga enam orang yang akan ditempatkan pada hari minggu, musim cuti sekolah dan cuti umum.

Katanya ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menempatkan pasukan-pasukan penyelamat di pusat rekreasi bagi membantu di peringkat awal sekiranya berlaku kecemasan.

"Tujuannya adalah untuk pemantauan situasi kecemasan dan memberikan bantuan awal sekiranya ada mangsa yang cedera, lemas termasuk pencarian orang hilang ketika mendaki dan sebagainya ketika berkunjung ke pusat rekreasi.

"Setakat ini, kita telah wujudkan PPK di Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah dan Gunung Datuk, Rembau dan kita akan perluaskan di seluruh negara dalam tahun ini," katanya pada majlis Pelancaran PPK di Hutan Lipur Ulu Bendul, di sini hari ini.

Ogu Salim berkata JPAM juga akan menambah menara kawalan di pantai-pantai seluruh negara.

"Jumlah menara kawalan sedia ada ketika ini 38 buah antaranya di Kedah, Melaka dan Pulau Pinang ... kami juga akan tambah bilangan angggota di kawasan pantai yang selalu dikunjungi orang awam," katanya.

Pada tahun lepas sebanyak 211 kes mati lemas melibatkan 224 mangsa dilaporkan di seluruh negara.

Mengulas mengenai pertambahan anggota tetap JPAM, Ogu Salim berkata ia bergantung kepada situasi kewangan pasukan bagaimanapun pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan agensi lain melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Setakat ini, pegawai tetap JPAM di seluruh negara sebanyak 1,500 anggota dan 800,000 anggota sukarela yang berdaftar di bawah JPAM. - BERNAMA
JPAM Akan Tubuh Pasukan Penyelamat Kecemasan Di Pusat Rekreasi Seluruh Negara JPAM Akan Tubuh Pasukan Penyelamat Kecemasan Di Pusat Rekreasi Seluruh Negara Reviewed by Unknown on January 06, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.