Seo Services

Kedai 1Malaysia Jadi Pilihan Golongan Berpendapatan Rendah

Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR: Sejak dilancarkan dua tahun lalu, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah khususnya di kawasan bandar mengoptimumkan perbelanjaan mereka.

Malah berikutan permintaan yang tinggi daripada orang ramai, barangan keperluan asas di KR1M seperti minyak, tepung dan gula sering kehabisan stok.

Pembantu Pengurus KR1M cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat, Muhammad Syamsul Kamal berkata sejak KRIM di kawasan itu beroperasi pada Nov 2014, sambutan amat memberangsangkan dengan jumlah jualan sentiasa melebihi sasaran RM100,000 sebulan.

"Berikutan permintaan yang tinggi, bekalan barangan keperluan asas seperti minyak, tepung dan gula sentiasa cepat habis.

"Oleh itu, saya harap pembekal dapat membekalkan barangan kepada setiap KRIM dengan lebih kerap memandangkan permintaan yang tinggi.

"Ini setidak-tidaknya dapat mengurangkan tempoh menunggu bekalan, sekali gus pengguna tidak perlu tunggu lama mendapatkan barangan keperluan mereka," katanya kepada Bernama di sini hari Khamis.

Bagi pengguna Ramlah Kamaruddin, 44, barangan yang dijual di KRIM adalah murah dan berpatutan dengan kadar perbezaan maksimum sehingga RM2 berbanding pasar raya lain.

Menurutnya pengguna harus bijak dan peka dengan harga yang dijual bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga dari semasa ke semasa.

"Sebahagian masyarakat kita mempunyai ego tinggi dengan tidak mahu membeli produk 1Malaysia kononnya kurang berkualiti, sedangkan barang seperti susu manis yang dijual berada dalam kondisi baik dan sama standard dengan jenama lain," katanya.

Pandangan Ramlah turut disokong Timbalan Presi-den Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman yang berkata masih ramai yang memandang negatif terhadap KR1M dengan menganggap produknya tidak berkualti.
Gambar Hiasan


Menurutnya orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kualiti barangan yang dijual di KR1M kerana Malaysia mempunyai undang-undang keselamatan makanan bagi menjamin suatu produk yang dihasilkan mengikut standard yang dibenarkan.

"Produk yang dijual di pasar raya adalah popular kerana mempunyai promosi yang meluas namun daripada segi mutu adalah tidak jauh berbeza dengan produk KR1M," katanya.

Mohd Yusof berkata pandangan itu perlu diubah kerana kerajaan telah membelanjakan wang yang besar bagi memberi kemudahan kepada rakyat untuk mendapat barangan keperluan pada harga yang berpatutan, dan ia sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau juga turut mencadangkan supaya produk KR1M yang sedia ada ditambah dan kerajaan perlu memperluaskan lagi KR1M supaya sampai ke golongan sasar.

Pesara, Abu Hassan Alim, 60, berharap KR1M dapat menjual lebih banyak produk makanan keluaran Bumiputera bagi menambah lagi pilihan kepada pengguna.

Selain KR1M, Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) juga turut mendapat sambutan yang menggalakkan terutama daripada pelajar sejak ia ditubuhkan.

Penyelia KB1M cawangan Pudu Sentral, Noor Zaihasrani Mohd Rodzi berkata sambutan yang diberikan adalah amat menggalakkan dengan golongan pelajar paling ramai menjadi pembeli sejak KB1M ditubuhkan, sehingga ia berjaya mencapai sasaran jualan pada setiap bulan.

"Bagi menyahut seruan kerajaan menurunkan harga barangan, kami menawarkan harga yang sangat rendah kepada pengguna serta diskaun tambahan bagi ahli KB1M," katanya.

Noor Zaihasrani berkata produk KB1M seperti buku latihan yang mengikut silibus yang digariskan Kementerian Pendidikan untuk sekolah kerajaan, turut mendapat sambutan menggalakkan.

-- BERNAMA
Kedai 1Malaysia Jadi Pilihan Golongan Berpendapatan Rendah  Kedai 1Malaysia Jadi Pilihan Golongan Berpendapatan Rendah Reviewed by Unknown on January 07, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.