GAMBAR HIASAN |
Bukit Kayu Hitam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah merampas 3,400 liter diesel dianggarkan bernilai RM6,000 dalam satu serbuan di premis simpanan diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.
Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Kedah Shahrudin Hamzah berkata, serbuan dijalankan kira-kira 2 petang oleh 10 pegawai penguat kuasa KPDNKK hasil maklumat awam dan risikan dijalankan sejak sebulan lalu.
Katanya, pemeriksaan awal di premis yang disewa sejak lebih setahun lalu itu mendapati pemilik premis iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30-an gagal memperbaharui lesen mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Siasatan awal mendapati pemilik yang juga pemborong dan pengedar diesel terbabit menyimpan bahan api berkenaan tanpa lesen sah sejak hampir lima bulan lalu dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Perintah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM2 juta bagi syarikat persendirian, manakala denda sehingga RM2 juta bagi syarikat perbadanan," katanya pada sidang media, di premis berkenaan, di sini, hari ini.
Katanya, dalam serbuan berasingan dilakukan serentak di premis simpanan diesel dan petrol terletak kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi berkenaan, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan juga berusia 30-an kerana gagal mengemas kini buku stok seperti diwajibkan oleh undang-undang.
"Lelaki terbabit yang juga bertindak sebagai pemborong diesel dan petrol sejak lebih setahun lalu itu didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 13(1) Perintah Kawalan Bekalan 1974," katanya.
Katanya, semua diesel yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Kimia negeri untuk diuji, manakala dokumen berkaitan dirampas untuk siasatan lanjut. - hmetro
KPDNKK Rampas Diesel Bernilai RM6,000
Reviewed by uMieySurianie
on
January 06, 2016
Rating:
No comments: