PETALING JAYA - Seorang pengawal keselamatan menjadi 'hero' selepas berjaya mematahkan tindakan sekumpulan penjenayah yang cuba menyamun sebuah premis pengurup wang berlesen di Dataran Mentari dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, tiga individu yang memakai topi keledar masuk ke premis tersebut.
Menurutnya, suspek bertindak mengacukan parang ke arah beberapa pekerja premis termasuk pengawal keselamatan, selain cuba membuka pintu di bahagian pejabat.
“Ketika itu, salah seorang suspek bertindak agresif apabila cuba menetak pengawal keselamatan berkenaan.
“Mujur pengawal tersebut sempat mengelak dan mencapai senapangnya sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah suspek dan mengenai kaki kiri penyamun itu,” katanya.
Panik melihat rakannya ditembak, dua lagi rakan suspek bergegas melarikan diri menaiki motosikal Yamaha LC.
Mohd Zani berkata, suspek yang ditembak berusia lingkungan 20-an dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.
"Suspek berkenaan juga didapati mempunyai rekod jenayah.
“Kita masih semak sejauh mana pembabitannya dalam kes-kes jenayah,” katanya.
Beliau berkata, sebilah parang dirampas bagi membantu siasatan.
"Polis akan meneliti rakaman CCTV untuk menjejak dua rakan suspek yang melarikan diri,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan. - SH
Pengawal Keselamatan Jadi ‘Hero’
Reviewed by Admin
on
January 10, 2016
Rating:
No comments: