KUCHING: Aktiviti judi siber kini bukan lagi hanya tertumpu kepada premis di lorong gelap atau terpencil sahaja, malah sudah mula merebak ke restoran dan kedai runcit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M M Shree Shunmugam berkata polis menyerbu sebuah restoran dan kedai runcit di Bintulu semalam yang dipercayai terbabit dengan aktiviti perjudian.
Menurutnya serbuan pertama dilakukan pada pukul 3.30 petang di restoran yang terletak di Taman Sri Dagang, Bintulu, kira-kira 600 kilometer dari sini, dan polis merampas 10 tablet yang digunakan untuk judi dalam talian.
Turut dirampas buku akaun, power bank, modem wi-fi, wang tunai berjumlah RM5,500 dan 80 kupon tambah nilai wang yang belum digunakan manakala dua lelaki serta seorang wanita berusia antara 33 dan 59 ditahan.
"Pelanggan yang mahu berjudi perlu mengambil tablet berkenaan di kaunter restoran dan membeli kupon prabayar untuk mendapatkan akses ke laman judi itu," katanya dalam kenyataan Khamis.
Dev berkata pada pukul 5 petang pula, polis menyerbu sebuah kedai runcit berhampiran dan merampas enam tablet, satu komputer dan buku akuan serta wang tunai berjumlah RM2,200.
Katanya seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan sembilan warga asing berumur antara 19 dan 45 tahun ditahan di situ.
"Walaupun sudah banyak operasi polis dilakukan untuk membasmi judi siber di negeri ini, operator perjudian di Sarawak terus berdegil dan menjalankan aktiviti mereka dalam apa jua cara," katanya.
"Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak akan terus melakukan serbuan untuk memburu mereka. Nampaknya bahagian jenayah negeri dan daerah akan bekerja lebih keras untuk menghentikan aktiviti berkenaan tahun ini," katanya.- BERNAMA
Restoran Dan Kedai Runcit Di Bintulu Diserbu, 16 Tablet Dirampas
Reviewed by uMieySurianie
on
January 07, 2016
Rating:
No comments: