Seo Services

Risiko perang rendah – Azmi

gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Risiko untuk berlakunya peperangan antara Arab Saudi dan Iran adalah rendah meskipun ketegangan semakin memuncak berikutan peng­akhiran hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, Amerika Syarikat (AS) tidak akan membenarkan peperangan melibatkan Iran berlaku kerana AS mempu­nyai kepentingan terhadap negara tersebut.

“Iran mempunyai pengaruh besar terhadap Syria dan adalah penting untuk AS ‘melindungi’ Iran bagi memastikan kemelut negara yang merupakan kubu kuat militan Negara Islam (IS) itu dapat diselesaikan.

“Selain itu, AS juga perlu menjaga kepentingan perjanjian yang dibuatnya dengan Iran serta lima kuasa dunia lain berkenaan pengawalan pembangunan tenaga nuklear tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Arab Saudi bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran berikutan berlaku serangan ke atas kedutaannya di Teheran rentetan bantahan terhadap tindakan Arab Saudi menjatuhkan hukuman pancung ke atas seorang ulama terkenal Syiah.

Selain Arab Saudi, beberapa negara Arab lain seperti Bahrain dan Sudan turut mengikuti langkah tersebut.

Tambah Azmi, meskipun peperangan secara langsung kemungkinan tidak akan berlaku antara Iran dan Arab Saudi, pepe­rangan proksi yang telah lama wujud antara kedua-dua negara itu dilihat akan berterusan.

“Perang proksi berlaku apabila kedua-dua negara ini menjadi pihak ketiga dalam peperangan yang berlaku di negara Arab lain seperti Yemen, Lebanon, Syria dan Iraq menyebabkan konflik geopolitik Iran dan Arab Saudi menjadi lebih tegang.

“Kali terakhir kedua-dua buah negara ini berperang secara langsung adalah pada tahun 1980-an dan selepas itu, perang proksi ini telah menjadi penyumbang kepada ketidakstabilan di negara-negara Asia Barat lain,” katanya.

-Utusan Online
Risiko perang rendah – Azmi Risiko perang rendah – Azmi Reviewed by Unknown on January 06, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.