KUCHING : Sebanyak 24 kes tertembak semasa berburu dilaporkan di Sarawak tahun lepas, meningkat 14 kes berbanding tahun sebelumnya, dan ini mencetuskan kebimbangan polis berhubung penggunaan senapang patah buatan sendiri oleh pemburu yang boleh membahayakan keselamatan dirinya dan orang lain.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata daripada 24 kes, 13 orang maut manakala 12 cedera parah.
Beliau berkata 23 orang ditahan, empat didakwa di mahkamah kerana menyebabkan kematian ketika memburu, dan 24 senapang patah, kebanyakan tanpa lesen dan buatan sendiri dirampas dan menegaskan polis percaya banyak lagi kes tertembak tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
"Semalam seorang lelaki berusia 37 tahun mati selepas secara tidak sengaja ditembak semasa berburu bersama-sama dua rakan di sebuah ladang kelapa sawit di Belaga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata terdapat kritikan bahawa polis mengganggu mata pencarian mereka yang bergantung kepada kegiatan berburu dengan merampas senapang patah yang dimiliki secara haram, bagaimanapun statistik menunjukkan betapa seriusnya isu itu dan polis akan terus mengambil tindakan terhadap mereka yang memiliki senapang patah buatan sendiri.
Muhammad Sabtu berkata pada Oktober tahun lepas, tiga orang ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di Bintulu kerana membuat senapang patah, dan lima senapang patah buatan sendiri bersama-sama pelbagai peralatan dan komponen yang digunakan untuk membuat senjata itu dirampas.
Beliau menasihatkan mereka yang memiliki senjata api secara haram supaya menyerahkannya kepada polis sementara pemilik senapang patah berlesen dinasihatkan agar tidak membenarkan orang lain menggunakan senapang patah mereka untuk berburu.
"Pemburu yang mempunyai lesen senjata api dinasihatkan supaya berhati-hati sepanjang masa semasa berburu, manakala pemimpin masyarakat dan tuai rumah juga diminta mendidik penghuni rumah panjang mengenai insiden tertembak yang mungkin boleh berlaku semasa berburu.
"Ada ketikanya pemilik senapang patah berlesen menyerahkan senjata miliknya kepada orang lain untuk digunakan. Tidak semua mereka mahir dalam mengendalikan senapang patah. Terdapat lima kes senjata api tergelincir daripada tangan mereka dan tertembak, pemburu terjatuh dari pokok dan secara tidak sengaja melepaskan tembakan, ada pemburu tidak sengaja tembak rakan-rakan mereka kerana menyangka ia rusa," katanya.
Banyak orang mati atau cedera akibat kelalaian ini, katanya dan menurutnya Polis Sarawak berharap insiden tertembak semasa berburu akan menurun tahun ini. - BERNAMA
Sebanyak 24 Kes Tertembak Ketika Berburu Di Sarawak Tahun Lepas
Reviewed by Unknown
on
January 05, 2016
Rating:
No comments: