Seo Services

Ibu Bapa Perlu Pastikan Anak Mendapat Vaksin Imunisasi Difteria


PUTRAJAYA : Ibu bapa disaran untuk memastikan anak mereka mendapat imunisasi terhadap jangkitan difteria yang mempunyai kadar kematian sangat tinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pada masa ini, imunisasi difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai iaitu Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenza Type B.

Ia diberikan pada umur dua, tiga dan lima bulan sebagai dos utama dan 18 bulan sebagai dos tambahan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheria yang tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan akan menjangkiti tekak yang melibatkan tonsil dan farinks.

Katanya ia akan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher sehingga boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas, selain boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung atau miokarditis.

Dr Noor Hisham berkata pada November tahun lepas, seorang kanak-kanak di Kampung Bukit Malut, Langkawi, Kedah yang tidak menerima imunisasi difteria dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan itu.

"Semua waris rapat mangsa diperiksa dan didapati hanya seorang mempunyai gejala yang disahkan dijangkiti difteria," katanya.

Menurutnya, Kedah juga pernah mencatatkan satu kes kematian difteria yang berlaku di Kampung Bikan, Kulim pada Disember 2014, juga tidak mendapat suntikan lengkap imunisasi difteria.

Beliau berkata liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria tersebut.

"Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, di Malaysia, pesakit yang disyaki dijangkiti difteria akan diberi antitoksin dengan segera tanpa menunggu keputusan ujian makmal kerana sebaran toksin ke seluruh tubuh boleh mengancam nyawa.

"Lazimnya individu yang dijangkiti difteria memerlukan tujuh hingga lapan vial antitoksin dengan kos RM500 per vial, berbanding dengan kos vaksin RM34 bagi satu dos dan dapat melindungi daripada lima jenis penyakit," katanya.

Tambahnya, sejak pelalian difteria dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan pada 1972, kejadian penyakit difteria telah menurun dengan sangat drastik.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, bilangan kes difteria yang paling tinggi di Malaysia adalah pada 2013, iaitu empat kes melibatkan dua kematian dengan kadar insiden 0.01 per 100,000 penduduk, katanya. - BERNAMA
Ibu Bapa Perlu Pastikan Anak Mendapat Vaksin Imunisasi Difteria Ibu Bapa Perlu Pastikan Anak Mendapat Vaksin Imunisasi Difteria Reviewed by Unknown on January 05, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.