Seo Services

Guru Bahasa Iban: SDNU Saran Ibu Bapa Tulis Surat Kepada PPD


SIBU : Ibu bapa kepada pelajar Dayak yang merupakan 90 peratus pelajar di sebuah sekolah rendah di sini kesal kerana anak mereka terpaksa belajar Bahasa Arab dan bukannya Bahasa Iban sebagai mata pelajaran elektif.

Mereka telah membawa perkara itu kepada perhatian Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).

Timbalan Setiausaha Agung SDNU Chambai Lindong yang bercakap atas kapasiti peribadi, menasihatkan ibu bapa membuat permohonan secara bertulis kepada Pusat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyediakan guru mata pelajaran Bahasa Iban di sekolah rendah terbabit.

"Pihak sekolah perlu dimaklumkan mengenai perkara ini terlebih dahulu sebelum mengajukan cadangan kepada PPD untuk menyediakan sekurang-kurangnya seorang guru mata pelajaran Bahasa Iban.

"Surat cadangan itu perlu ditandatangani sekurang-kurangnya 15 ibu bapa," katanya kepada pemberita hari ini.

Chambai berkata masalah itu membabitkan sumber manusia dan menurutnya walaupun banyak masyarakat Iban bertugas sebagai guru di negeri ini tetapi tidak banyak yang mempunyai kelayakan khusus atau berkebolehan mengajar bahasa itu.

Katanya pihaknya mendapati terdapat kekurangan penyebaran maklumat berkaitan dasar mata pelajaran elektif wajib di bawah Standard Kurikulum Sekolah Rendah meliputi bahasa Mandarin, Tamil, Iban, Kadazandusun dan Semai sejak dilaksanakan pada 2011.

"Malah, masih ada guru masih keliru. Ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga tidak memahami perkara itu," katanya.

Katanya masyarakat Dayak perlu menaruh kepercayaan kerana Universiti Pendidikan Sultan Idris menerima pelajar mengikuti pengajian Bahasa Iban bagi ambilan 2010/2011 yang melayakkan mereka mengisi kekosongan guru bahasa Iban apabila tamat pengajian.

Usaha sama juga diambil Institut Perguruan Kampus Rejang dan Institut Perguruan Kampus Miri yang menyediakan latihan bagi guru bahasa Iban, katanya.

Pengerusi SDNU Unit Kemuyang, Patros Tandang berkata kerajaan perlu melihat keperluan menyediakan lebih banyak guru bahasa Iban di kawasan bandar memandangkan berlakunya penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar.

Beliau menasihatkan masyarakat Dayak supaya mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah mengenai pemilihan bahasa elektif sebelum mendaftar anak masing-masing.

"Jika mata pelajaran Bahasa Iban tidak diajar di sesebuah sekolah, maka pilihlah sekolah lain. Ya, ini memang sukar tetapi, sehingga kami mempunyai tenaga guru mencukupi demi masa depan anak-anak, ini tidak dapat dielakkan," katanya.

Patros berharap lebih banyak masyarakat Dayak yang mahu menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya agar mengambil kursus Bahasa Iban supaya mereka dapat mengajar bahasa itu apabila tamat pengajian.

Untuk rekod, Bahasa Iban hanya diajar di 641 daripada 1,261 sekolah rendah di Sarawak.

-- BERNAMA
Guru Bahasa Iban: SDNU Saran Ibu Bapa Tulis Surat Kepada PPD Guru Bahasa Iban: SDNU Saran Ibu Bapa Tulis Surat Kepada PPD Reviewed by Unknown on January 05, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.