Seo Services

Stadium Sultan Muhammad IV Bakal Bertukar Ke Warna ‘Pink’


KOTA BHARU - Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) tiada masalah jika Stadium Sultan Muhammad IV ditukar kepada warna merah jambu seperti yang dikehendaki bakal penaja The Red Warriors, malah menganggarkan kos mengecat mencecah lebih RM60,000.

Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman pula menegaskan, beliau tiada masalah untuk menanggung bukan saja kos mengecat stadium, malah membaik pulih fasiliti stadium asalkan segala syarat yang ditetapkan dipenuhi.

Malah, Hasmiza, yang dikenali se­bagai Dr. Vida turut mendedahkan, tajaan yang sedia diberikan ke­pada Persatuan Bola Sepak Ke­lantan (Kafa) bernilai hampir puluhan juta untuk tempoh dua musim.

Sekarang, semuanya terpulang kepada Kafa untuk melengkapkan perjanjian dan mengemukakan permohonan rasmi kepada PSK, sebelum bersedia menandatangani perjanjian, se­kali gus merubah wajah The Red Warriors serta stadium keramat mereka.

Pengerusi Jawatan­kua­sa Kerajaan Tem­­patan, Perumahan, Belia dan Sukan ne­geri, Datuk Abdul Fattah Mah­mood berkata, secara peribadi beliau menganggap warna merah jambu mempunyai tarikan tersendiri.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, Kafa perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada PSK untuk menukar warna Stadium Sultan Muhammad IV.

“Jika benar mahu tukar cat, banyak perkara perlu dibincangkan oleh kedua-dua pihak. Cada-ngan ini memerlukan perincian... dia mahu cat bagaimana, berapa kos dan siapa yang akan buat.

“Kita masih menunggu surat daripada Kafa kerana setakat ini, belum ada permohonan rasmi. Bila sudah ada permohonan baru kita boleh bermesyuarat untuk tentukan perkara seterusnya.

“Kalau diolah dengan baik, warna merah jambu pun comel,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Keputusan sama ada Kafa menerima tajaan Vida Beauty hanya akan diumum sebaik sahaja Pre­siden persatuan itu, Tan Sri Annuar Musa kembali ke tanah air daripada mengerjakan umrah, hari ini.

Kesediaan Kafa untuk memenuhi segala syarat yang ditetapkan oleh Dr. Vida pastinya akan menyaksikan ke­r­jasama mereka bakal terjalin sebelum Li­ga Malaysia membuka tirai­nya, bulan depan.

Ia mungkin be­ri­­ta yang meng­gem­birakan buat pe­nyokong The Red Warriors, pihak yang memberi ‘ilham’ kepada jutawan kosmetik itu untuk menaja pasukan mereka.

Namun, perjanjian tersebut pastinya mengecewakan peminat Selangor, Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT), pasukan yang menjadi alternatif Dr. Vida untuk ditaja seandainya rundingan gagal mencapai kesepakatan.

-Utusan Online
Stadium Sultan Muhammad IV Bakal Bertukar Ke Warna ‘Pink’ Stadium Sultan Muhammad IV Bakal Bertukar Ke Warna ‘Pink’ Reviewed by Unknown on January 07, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.