Antara anggota penyelamat PBB MoSAR Foto Bernama |
KUNDASANG: Tidak banyak diketahui akan kekuatan dan kehebatan malim gunung hinggalah gempa bumi melanda Gunung Kinabalu pada Jun 2015.
Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau, 7.15 pagi 5 Jun itu turut mengorbankan empat malim gunung iaitu Valerian Joannes, Ricky Masirin, Joseph Selungin dan Robbi Sapinggi.
Seramai 13 pendaki juga turut terkorban pada hari yang malang itu, sementara ramai lagi yang terkandas atas gunung. Ketika itulah baru ramai menyedari keberanian malim gunung dalam menyelamatkan nyawa pendaki.
PROSES LATIHAN
Berikutan kejadian gempa bumi itu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan mencadangkan penubuhan pasukan penyelamat terdiri daripada kalangan malim gunung yang berdaftar dengan Taman-Taman Sabah.
Pada 22 Jun lalu, Abdul Rahman dengan rasminya melancarkan penubuhan Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (PBB MoSAR) yang pertama di Balai Bomba dan Penyelamat, Ranau.
Pemilihan anggota PBB MoSAR daripada malim gunung adalah berdasarkan kepada kemahiran, pengalaman dan keupayaan dalam bertugas di altitud tinggi kerana mereka bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran serta risiko kecemasan yang dihadapi oleh pendaki.
Antara risiko itu termasuklah cedera akibat terjatuh dan sakit, kesejukan, kekurangan oksigen, terperangkap akibat cuaca buruk, runtuhan laluan serta kematian kerana pelbagai sebab.
Sebelum menjalani ujian asas, pemilihan melalui ujian fizikal dan temuduga lisan dijalankan. Malim gunung yang melepasi ujian dan terpilih mengikuti latihan selama 10 hari bersamaan 100 jam yang dikendalikan oleh Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabah.
Sepanjang tempoh latihan itu, mereka didedahkan dengan aspek teori dan praktikal kawad kaki, pengurusan PBB MoSAR, ikatan dan simpulan, menyelamat di aras tinggi, sistem takal dan jangkar, pengurusan mangsa, penggunaan peta dan kompas, tatacara komunikasi (walkie talkie), mencari dan menyelamat, tatacara bekerja dengan helikopter, bantuan awal kecemasan dan sains kebombaan.
Anggota penyelamat membawa turun seorang pendaki Foto Bernama |
TANGGUNGJAWAB BERMULA
Malah mereka juga didedahkan dengan situasi sebenar melalui latihan praktikal simulasi menyelamat mangsa di gunung yang dijalankan di bukit Kampung Logub, Tamparuli.
Di akhir latihan malim akan menduduki peperiksaan 'post test', teori dan praktikal, untuk menguji sejauh mana kefahaman mereka terhadap subjek yang diajar sepanjang proses latihan.
Oleh itu, pada Ogos lalu seramai 40 orang PBB MoSAR berjaya menamatkan latihan asas pertama masing-masing dan digerakkan dalam operasi penyelamat bagi membantu jabatan bomba serta Taman-Taman Sabah apabila Gunung Kinabalu dibuka semula secara rasmi untuk pendakian awam pada 1 Dis lalu.
Biarpun mereka telah tamat mengikuti latihan di akademi, namun PBB MoSAR akan sentiasa diberi latihan secara berterusan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Ranau.
Sekurang-kurangnya seramai 12 PBB MoSAR akan sentiasa berada di atas gunung setiap masa dengan kadar bayaran elaun RM6 sejam.
APLIKASI KEMAHIRAN
Sebagai pasukan yang terlatih untuk membuat kerja-kerja berisiko dan berbahaya di Gunung Kinabalu termasuk di Taman Kinabalu, kecekapan mereka teruji apabila beberapa pendaki mengalami beberapa masalah ketika menuruni puncak Kinabalu.
Antara masalah yang dialami pendaki termasuk kekejangan otot yang menyukarkan mereka untuk berjalan turun dan mengalami penyakit altitud tinggi iaitu 'Acute Mountain Sickness' (AMS).
Disebabkan AMS jugalah kecekapan anggota PBB MoSAR teruji, apabila mereka membawa turun penulis yang mengalami AMS.
Enam anggota PBB MoSAR datang untuk membantu dengan salah seorang daripada mereka menyambung tugasan malim gunung yang membawa penulis turun separuh jalan.
BERGILIR
Meskipun ini merupakan kali ketiga pendakian penulis dan kali kedua sampai ke puncak, namun inilah kali pertama penulis mengalami AMS.
Adakalanya laluan itu terasa rata kerana pergerakkan PBB MoSAR sangat pantas malah ketika berlari menuruni tangga di cerun yang tinggi. Ini membuatkan penulis tidak dapat membayangkan perasaan ketika itu dan berharap semoga cepat sampai ke Panalaban.
Sesekali penulis bersuara menyuarakan kebimbangan takut dan gerun namun mereka sentiasa memberikan keyakinan bahawa mereka cukup terlatih dan tidak perlu merasa bimbang.
Akhirnya kira-kira pukul 11.10 pagi, PBB MoSAR bersama malim gunung yang lain berjaya membawa penulis turun ke kawasan Panalaban untuk diberikan rawatan selanjutnya.
WIRA KINABALU
Ketahanan fizikal mereka ketika membawa pendaki turun sememangnya amat mengkagumkan kerana biarpun hanya menggunakan kudrat sendiri, akhirnya penulis selamat dan berjaya sampai ke Panalaban.
Menurut Jimmy Lagung, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau dalam pendakian sulung itu tiga orang pendaki termasuk seorang lelaki dan seorang wanita warga Australia terpaksa dibawa turun kerana mengalami kekejangan otot dan terseliuh.
"Apabila menerima panggilan kecemasan daripada malim gunung, PBB MoSAR yang siap sedia bergegas ke lokasi," katanya.
Tanpa kecekalan, latihan, kekuatan mental serta fizikal pelbagai kemungkinan akan berlaku ketika dalam misi menyelamat. Namun merekalah wira Kinabalu yang tidak mengenal lelah menghulurkan bantuan demi menyelamatkan nyawa.
Setiap titisan peluh yang mengalir adalah lambang keberanian mereka dalam menjaga dan memastikan pengunjung Kinabalu sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Merekalah wira Kinabalu yang tidak didendang, memberi bantuan tanpa mengira waktu, sanggup berkorban tenaga demi memberikan perkhidmatan yang terbaik.
BERNAMA
Wira Kinabalu Yang Tidak Didendang
Reviewed by Unknown
on
January 07, 2016
Rating:
No comments: