JOHOR BAHARU – Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis bunga api serta mercun dalam ‘Op Cantas Khas Ramadan’ di sebuah kedai runcit di Simpang Renggam, dekat Kluang, dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata lelaki berumur 24 tahun yang merupakan penjual barangan tersebut, ditahan pada 9.45 malam selepas polis bertindak atas maklumat.
“Kesemua bunga api dan mercun itu dianggarkan bernilai RM10,000, antaranya enam kotak bunga api King Cat, enam kotak mercun Thunder King, 43 paket mercun Happy Boom, enam paket mercun roket serta 12 keping mercun papan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad berkata lelaki terbabit kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Beliau berkata lelaki berkenaan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada polis mengenai kegiatan penjualan bunga api dan mercun.
“Polis tidak mahu penjualan bunga api dan mercun berlarutan kerana boleh menyebabkan bahaya kepada orang awam malah telah berlaku insiden kematian seorang kanak-kanak berumur dua tahun membabitkan permainan mercun di Simpang Renggam, dua tahun lepas,” katanya. – BERNAMA
Polis Tahan Lelaki, Rampas Bunga Api & Mercun
Reviewed by Unknown
on
June 22, 2016
Rating:
No comments: