KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melantik Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 Julai, 2016.
"Sebagai Timbalan Gabenor, Abdul Rasheed akan bertanggungjawab ke atas pengawalseliaan dan pembangunan sektor kewangan, termasuk sistem pembayaran serta pengurusan rizab antarabangsa dan operasi pasaran wang dan pentadbiran pertukaran asing," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.
Dengan pelantikan beliau, Bank Negara Malaysia kini mempunyai tiga Timbalan Gabenor, seperti yang diperuntukkan oleh Akta Bank Negara Malaysia 2009 Dua Timbalan Gabenor lain ialah Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Dr Sukudhew Singh.
Abdul Rasheed kini bertugas sebagai Penolong Gabenor yang bertanggungjawab ke atas sektor Dasar Monetari dan Ekonomi, yang terdiri daripada Jabatan Dasar Monetari, Jabatan Ekonomi, Jabatan Antarabangsa dan Jabatan Perkhidmatan Statistik Bank Negara.
Beliau ialah ahli Jawatankuasa Pengurusan Bank dan ahli jawatankuasa bagi beberapa jawatankuasa dasar iaitu Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.
Abdul Rasheed telah berkhidmat di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Washington DC sebagai Pengarah Eksekutif Silih Ganti di Pejabat Kumpulan Asia Tenggara dalam Lembaga Eksekutif IMF.
Beliau telah memainkan peranan utama dalam pembangunan dan kejayaan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) dan perumusan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020).
Abdul Rasheed yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya, memulakan kerjaya di Bank Negara pada 1988, dan beliau terbabit dalam inisiatif kerjasama serantau ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
Ini termasuk persetujuan Ringkasan Pencapaian Integrasi Kewangan ASEAN dan pembangunan Pelan-Pasca 2015 Integrasi Kewangan ASEAN. - BERNAMA
Shaik Abdul Rasheed dilantik Timbalan Gabenor BNM
Reviewed by Admin
on
July 04, 2016
Rating:
No comments: