Seo Services

Kerajaan Tingkat Pemantauan Di Pintu Masuk Malaysia-Singapura


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan meningkatkan pemantauan di dua pintu masuk utama melalui selatan tanah air berikutan pengesahan satu kes jangkitan Zika membabitkan rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Singapura.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu kumpulan paramedik turut disediakan sebagai langkah persediaan jika terdapat pelawat yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan Zika.

Kementerian itu turut mengedarkan risalah mengenai pencegahan jangkitan Zika di dua pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura.

“Bermula Februari 2016, kementerian telah mempergiatkan pemantauan serta langkah pencegahan dan kawalan vektor di semua pintu masuk antarabangsa negara bagi pelawat asing dan rakyat Malaysia yang kembali dari negara yang mempunyai jangkitan virus Zika.

“Ini termasuk pintu masuk jalan darat dari negara jiran. Bagi pelawat yang tiba dari negara-negara yang telah dijangkiti virus Zika, Kad Amaran Kesi­hatan (Health Alert Card) akan diberikan sebagai panduan dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya mengalami gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika setelah kembali dari negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan Singapura semalam mengesahkan seorang wanita warga Malaysia berusia 47 tahun dijangkiti virus Zika selepas mendapat rawatan akibat demam, ruam dan konjunktivitis sejak 25 Ogos lalu.

Noor Hisham berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan kes wanita tersebut adalah jangkitan tempatan yang mana pesakit tidak mempunyai sejarah melawat ke negara yang dijangkiti virus berkenaan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan negara berkenaan juga mengesahkan wanita Malaysia itu tinggal di Blok 102 Aljunied Crescent dan bekerja di negara itu, yang mana ada tiga kes disyaki Zika dilaporkan di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, kementerian akan sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Singapura untuk lebih memahami situasi dan mendapatkan maklumat terkini mengenai jangkitan virus Zika berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan sehingga 24 Ogos lalu, tiada kes virus Zika dikesan pada individu yang dikaitkan dengan acara Sukan Olimpik Rio 2016.

- Utusan Malaysia
Kerajaan Tingkat Pemantauan Di Pintu Masuk Malaysia-Singapura Kerajaan Tingkat Pemantauan Di Pintu Masuk Malaysia-Singapura Reviewed by Unknown on August 29, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.