PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan seramai 1,500 tenaga pengajar mempunyai kepakaran keusahawan dan menjadi penasihat kepada peniagaan dan projek keusahawan pelajar menjelang 2020.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Asma Ismail berkata pembangunan tenaga pengajar yang kompeten dan berdaya keusahawan merentasi bidang pengajian adalah selaras dengan Pelan Tindakan Keusahawan Institusi Pengajian Tinggi 2016-202.
Beliau berkata ini bertujuan bagi membolehkan tenaga pengajar, yang merupakan kumpulan 'enabler' yang signifkan dalam menganjakkan minda pelajar daripada pencari pekerjaan kepada penjana pekerjaan.
"Harapan saya agar program peningkatan kompetensi tenaga pengajar ini dapat dipelbagaikan pada masa hadapan supaya tenaga pengajar turut didedahkan dengan pembelajaran pengalaman dan pratikal," katanya.
Dr Asma berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Kerjasama Keusahawan KPT-Malaysia Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) 'Industry Into Academia (i2A)-Transfer of Industry knowledge into Academia Programme 2016' di sini hari ini.
Mengenai program ini, katanya, bengkel lima hari yang bermula 22 Ogos lalu libatkan 120 tenaga pengajar Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negara diharapkan dapat meningkatkan inovasi dalam kaedah pengajaran serta penciptaan produk oleh pelajar.
"Diharap agar Politeknik dan Kolej Komuniti juga dapat meningkatkan bilangan tenaga pengajar yang mahir dalam pendidikan keusahawan dan pengkomersialan teknologi," katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata bengkel itu telah didedahkan dengan pengalaman dunia sebenar dan pembelajaran amali mengenai kepentingan pemindahan pengetahuan dan teknologi terhadap produk atau perkhidmatan.
Katanya, kerjasama sebegini dapat mencapai usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi berasas ilmu dan memacu pengkomersial dan inovasi.
"Adalah diharapkan, para pendidik ini dapat mewujudkan ekosistem mesra keusahawan dan melakukan pemindahan pengetahuan yang tidak bersempadan," katanya. - Bernama
KPT Sasar 1,500 Tenaga Pengajar Punyai Kepakaran Keusahawan Menjelang 2020
Reviewed by Unknown
on
August 26, 2016
Rating:
No comments: