Seo Services

Duduki UPSR Di Hospital


MELAKA: Dua calon perempuan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Notre Dame di sini, terpaksa mengambil peperiksaan kertas ujian Bahasa Cina di hospital selepas dijangkiti demam denggi dan Influenza A.

Dua murid itu, Rachelle Chua Xue Lee dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Mahkota (MMC) Selasa lalu selepas dijangkiti virus Influenza A, manakala Suah Pei Xian dimasukkan ke hospital sama akibat demam denggi pagi semalam.

EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin, berkata kedua-dua murid berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Saya dimaklumkan murid yang dijangkiti virus Influenza A mungkin dibenarkan keluar dari hospital petang ini, manakala murid yang dijangkiti denggi pula masih belum dapat dipastikan," katanya ketika ditemui selepas melawat kedua-dua murid itu bersama Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari, sebentar tadi.

Nenek Pei Xian, Goh Eng Ngoh, 65, berkata cucunya itu diserang demam pada pagi Selasa lalu apabila mengadu berasa tidak selesa dan semakin lemah, sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan dirujuk ke hospital.

"Sebaik saja melihat Pei Xian semakin lemah dan memikirkan dia perlu menduduki UPSR, saya terus membawanya ke klinik dan hospital, sebelum dia disahkan dijangkiti demam denggi," katanya.

Sementara itu, Yunos berkata, seramai 13,379 calon menduduki UPSR di negeri ini pada tahun ini membabitkan 241 pusat peperiksaan terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, SJKC, SJK Tamil, Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Islam (SRI) swasta. -BH

Duduki UPSR Di Hospital Duduki UPSR Di Hospital Reviewed by Unknown on September 01, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.