Seo Services

Lebih 200 Pasangan Timang Bayi Merdeka


KUALA LUMPUR: Ketika negara menyambut Hari Kebangsaan ke-59 semalam, tarikh keramat itu turut menjadi hari bersejarah buat lebih 200 pasangan suami isteri yang bertuah menyambut kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka.

Di ibu negara, sebanyak 18 kelahiran bayi Merdeka dicatatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak detik jam 12 tengah malam kelmarin dengan 10 bayi lelaki dan lapan perempuan, setakat petang semalam.

Sementara di SELANGOR, 40 kelahiran bayi Merdeka direkodkan terdiri daripada 21 bayi lelaki dan 19 bayi perempuan, masing-masing di Hospital Selayang (sembilan), Hospital Sungai Buloh (18) dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (13).

Di PUTRAJAYA pula seramai sembilan kelahiran bayi Merdeka direkodkan di Hospital Putrajaya dengan tiga lelaki dan enam perempuan.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata seramai 12 bayi Merdeka dilahirkan setakat jam 12 tengah hari semalam di Hospital Melaka dengan 10 bayi lelaki manakala selebihnya perempuan.

Katanya, bayi Merdeka pertama dilahirkan seorang ibu warga Indonesia, Tifani Petros, 32, iaitu bayi lelaki seberat 2.7kg pada jam 2.18 pagi semalam manakala bayi Merdeka ke-12 pula bayi lelaki seberat 2.9kg dilahirkan pada jam 10.33 pagi semalam.

“Saya berharap bayi Merdeka dilahirkan hari ini (semalam) sentiasa berada dalam keadaan sihat dan menyumbang dari segi bilangan penduduk negeri juga negara, selain menjadi warganegara berguna suatu hari nanti,” katanya kepada pemberita selepas melawat bayi Merdeka itu di Hospital Melaka.

Di SEREMBAN, seramai 11 bayi iaitu enam bayi lelaki dan lima perempuan dilahirkan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, dengan bayi pertama dilahirkan pada jam 12.23 pagi semalam.

Pengarah HTJ Dr Ariffin Mohamad berkata daripada jumlah itu, 10 adalah berketurunan Melayu manakala seorang India dengan tiga bayi lahir secara normal, manakala lapan bayi secara pembedahan.

Di PAHANG, seramai 19 bayi dilahirkan setakat jam 10 pagi semalam, termasuk sepasang kembar lelaki dan perempuan.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantatn mencatatkan kelahiran tertinggi seramai lapan bayi diikuti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh (tujuh), Hospital Kuala Lipis (dua) manakala Hospital Pekan dan Hospital Rompin masing-masing seorang bayi.

Di PERLIS, sebanyak sembilan bayi dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), terdiri daripada dua bayi perempuan dan tujuh lelaki dengan bayi pertama dilahirkan pada jam 12.57 malam kelmarin.

“Lapan bayi itu dilahirkan secara normal dan berbangsa Melayu manakala seorang berbangsa Tionghoa yang dilahirkan secara pembedahan dengan berat 4.66kg,” katanya.

Di PULAU PINANG, dua bayi dilahirkan di Hospital Pulau Pinang.

Seorang ibu Nursofina Johan Shahain ,31, menzahirkan keterujaannya apabila melahirkan anak keduanya pada tarikh yang sangat bermakna.

Perasaan sama turut dikongsi seorang lagi ibu Asruwati Abdullah, 33, yang melahirkan anak lelakinya pada jam 2 pagi semalam.

Di JOHOR, seorang bayi perempuan seberat 3.1kg dilahirkan di Hospital KPJ Pakar Puteri pada jam 10.37 pagi semalam.

Bayi yang dinamakan Nur Adriana Nafisah itu merupakan anak sulung kepada pasangan Nuramira Mohamad, 23, seorang suri rumah dan Mohamad Anwaruddin Abdul Rahaman, 26, kakitangan Tenaga Nasional Berhad.

Nuramira yang turut diraikan Pengarah Eksekutif Hospital KPJ Pakar Puteri, Khairun Ahmaddi berkata dia berasa gembira dan tidak menyangka anaknya lahir ketika seluruh rakyat Malaysia sedang menyambut Hari Kebangsaan ke-59.

Di KELANTAN, seramai 10 bayi dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab iaitu tujuh bayi perempuan dan tiga bayi lelaki sehingga jam 7 pagi semalam.

Di PERAK, sebanyak sembilan bayi dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan kelahiran pertama kira-kira jam 12.25 malam kelmarin dan bayi kesembilan pada jam 10.23 pagi semalam.

Hospital Pantai Ipoh pula merekodkan lima kelahiran bayi lelaki dengan kelahiran pertama pada jam 12.14 malam dan yang akhir sekali pada jam 9.51 pagi semalam.

Di TERENGGANU, seramai 34 bayi iaitu 20 lelaki dan 14 perempuan selamat dilahirkan di beberapa hospital daerah di negeri ini sehingga jam 1 petang semalam.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata daripada jumlah itu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), mencatatkan kelahiran paling ramai iaitu seramai 21 orang.

Di SABAH, seramai 29 bayi Merdeka, 15 daripadanya bayi lelaki, dilahirkan di Hospital Kanak-Kanak Likas dekat sini, sehingga jam 1.30 semalam.

Pakar Sakit Puan Hospital Kanak-Kanak Likas, Dr Anuradha Suberamaniam berkata bayi pertama yang dilahirkan ialah bayi perempuan pada 12.21 pagi, seberat 3.1kg oleh seorang guru, Mastura Talip.

Di KEDAH, seramai 18 bayi selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan tujuh bayi lelaki dan 11 bayi perempuan sehingga jam 3 petang semalam.

Pengarah HSB Dr Zaiton Udin berkata bayi pertama yang dilahirkan ialah bayi perempuan seberat 2.5 kilogram pada jam 2.18 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail turut meluangkan masa melawat kesemua bayi berkenaan sambil menyerahkan sumbangan hamper. — Bernama
Lebih 200 Pasangan Timang Bayi Merdeka Lebih 200 Pasangan Timang Bayi Merdeka Reviewed by Azmin on September 01, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.