Seo Services

Ekonomi Malaysia Kekal Berdaya Tahan Diasak Cabaran Getir

Image result for malaysian ringgit
KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Kemampuan Malaysia mengekalkan pertumbuhan sekurang-kurangnya 4.0 peratus bagi tiga suku pertama 2016 biarpun diasak persekitaran global mencabar, membuktikan ekonomi negara ini terus berdaya tahan meredah tempoh-tempoh getir berkenaan.

Malah, ada alasan untuk berasa lega dengan keupayaan Malaysia mengekalkan momentum ekonomi itu ketika negara-negara maju lain sebaliknya mencatat kadar pertumbuhan lebih rendah di bawah satu peratus selain berdepan risiko kemelesetan.

Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump juga dilaporkan menyuarakan kekaguman terhadap keupayaan Malaysia mencapai 4.3 peratus bagi suku ketiga 2016 iaitu peningkatan kali pertama selepas mencatat pertumbuhan lebih perlahan untuk enam suku berturut-turut.

Apa yang pasti, peningkatan penggunaan swasta secara berterusan selain sokongan eksport bersih terbukti menjadi pemacu ekonomi negara pada suku ketiga berkenaan.

Pada masa sama, usaha-usaha kerajaan untuk merancakkan perbelanjaan penggunaan serta kolaboratif Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) memperkenalkan langkah-langkah meningkatkan mudah tunai dalam pasaran tukaran asing juga menyuntik kestabilan serta mengekalkan momentum pertumbuhan.

Langkah BNM menurunkan kadar asas semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada Julai lepas selain usaha kerajaan memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah turut menjadi antara pendekatan yang melonjakkan perbelanjaan domestik.

Peningkatan risiko ekonomi susulan keputusan pungutan suara United Kingdom untuk keluar daripada Kesatuan Eropah atau 'Brexit,' diburukkan lagi dengan kemenangan Trump yang biarpun disambut kejutan ramai, namun mendorong dolar AS mencecah paras paling kukuh.

Cadangan dasar-dasar Trump untuk merancakkan perbelanjaan fiskal dan infrastruktur di AS disambut reaksi yang menyaksikan lonjakan mata wang negara itu ke paras tertinggi dalam tempoh 12 tahun biarpun ia sebaliknya mengheret mata wang utama lain termasuk ringgit ke paras terendah.

Baru-baru ini, ringgit mencecah paras terendahnya dalam masa 14 bulan berbanding dolar AS dan berlegar pada 4.47 berikutan prospek kemungkinan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan lagi kadar faedah pada tahun depan.

Pihak Fed sudah menaikkan kadar faedah sebanyak dua kali dalam masa sedekad iaitu 0.25 mata pada 14 Dis, 2016 berikutan faktor pasaran pekerjaan yang kembali pulih serta pengukuhan ekonomi AS.

Selain itu, China yang berstatus ekonomi kedua terbesar dunia pula bangkit daripada fasa suramnya apabila pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan mencatat momentum ketara dan manfaat itu akan turut dirasai Malaysia sebagai rakan dagang utama negara itu.

Di Eropah sebaliknya, kebangkitan golongan populis yang mewarnai arena politik hanya mengundang risiko kepada sentimen pelabur serta dasar-dasar perdagangannya.

Bagi AS, perkembangan politik yang akan menyaksikan Trump secara rasminya menduduki kerusi Presiden bermula tahun depan kini diselubungi kebimbangan mengenai kemunculan dasar-dasar perlindungan perdagangan, termasuk kemungkinan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik yang diterajui Washington di bawah tampuk pemerintahan Presiden Barack Obama, menemui jalan buntu.

Sejajar dasar Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka, impak 'kesan Trump' dan jangkaan peningkatan dasar perlindungan perdagangan itu, dilihat akan turut menjejaskan eksport Malaysia.

Mengulas perkembangan itu, Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran ForexTime, Jameel Ahmad berkata ekonomi Malaysia akan berkembang melebihi 4.0 peratus tahun depan berikutan ekonominya yang banyak bergantung kepada perbelanjaan pengguna bagi mengurangkan kesan penyusutan perdagangan global.

"Apa yang positif adalah ekonomi Malaysia masih berkembang jauh lebih kukuh berbanding negara-negara maju.

"Ia terus berlaku biarpun ringgit lemah akibat permintaan belian dolar AS yang ketara serta menjejaskan mata wang global lainnya sejak beberapa bulan lepas," katanya kepada Bernama menerusi e-mel bagi mengulas prestasi ekonomi negara ini.

Menurut Jameel, harga minyak yang kembali pulih dilihat akan merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, membantu ringgit serta mata wang negara-negara pesat membangun untuk kembali meraih semula momentum selepas berdepan tekanan hebat sejak 18 bulan lepas.

Harga minyak pulih ke paras tertingginya sejak pertengahan tahun lepas apabila dagangan minyak mentah Brent mencecah paras tertinggi iaitu US$50 susulan keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada pertemuan 30 Nov lalu, mengurangkan pengeluaran sebanyak 33.8 juta tong sehari kepada 32.5 juta tong sehari dan merupakan tindakan pertama sejak 2008.

Dalam pada itu, sewaktu mengumumkan Bajet 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menggariskan sasaran strategik serta pendekatan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan kerajaan, khususnya mengurangkan kebergantungan terhadap sektor berkaitan minyak dan gas daripada 41.3 peratus pada 2009 kepada 14.6 peratus pada 2016.

Kerajaan juga dijangka mencapai sasaran defisit fiskal pada 2017 sebanyak 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.1 peratus tahun ini.

Najib turut berkongsi keyakinan beliau bahawa ekonomi negara akan mencapai pertumbuhan antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus pada 2016 dan antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus pada 2017.

Bagi Jameel, perbelanjaan pengguna Malaysia perlu dipertingkatkan andai mahu melihat angka KDNK negara dapat pulih ke paras 2014 dan 2015 iaitu 5.0 peratus sehingga 6.0 peratus.

"Bagaimanapun, ia sukar jika kenaikan inflasi itu hanya memberi cabaran kepada kos sara hidup selain mengurangkan pendapatan boleh guna.

"Kelemahan mata wang ini secara amnya menjadikan kos import lebih tinggi dan menjurus kepada peningkatan inflasi.

"Memandangkan banyak mata wang terjejas akibat (kenaikan) dolar AS, Malaysia sudah pasti tidak akan sendirian berdepan risiko inflasi," katanya.

Beliau berkata biarpun perbelanjaan kerajaan dan rangsangan fiskal mampu membantu, namun kalangan pembuat dasar tidak mampu untuk campur tangan dalam persekitaran luaran akibat kelemahan harga minyak serta lonjakan dolar AS.

"Pertumbuhan global yang perlahan dan penyusutan perdagangan berkemungkinan memberi tekanan berterusan terhadap peningkatan pendapatan kerana Malaysia berkemungkinan berdepan permintaan terhadap eksportnya menjadi lebih rendah," katanya.

Mengulas bajet dan perbelanjaan kerajaan bagi menyokong ekonomi, Jameel menegaskan pendapatan minyak masih menjadi penyumbang utama atau teras.

Sehubungan itu, katanya, sebarang peningkatan ketara harga minyak pastinya mampu menyuntik manfaat kepada Malaysia.

"Isu utama sekarang adalah sebarang pemulihan harga minyak juga berisiko untuk jatuh secara tiba-tiba serta pada bila-bila masa," katanya.

Seiring ketidaktentuan dan kelemahan akibat penyusutan ekonomi global, Jameel juga menekankan bahawa kestabilan serta keadaan untuk kembali tenang, akan memakan masa lama untuk benar-benar dapat menyokong ekonomi tempatan.

"Dalam keadaan sedemikian, kestabilan sahaja tidak memadai untuk meyakinkan para pelabur."

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Malaysia menimbang pendekatan bagi merangsang kestabilan serta mewujudkan persekitaran kondusif untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan ketika tempoh sukar, terutamanya dalam keadaan kemelut ketidaktentuan harga minyak selain isu luaran masih belum selesai.

Menurutnya, jika kelemahan pasaran terus ketara selain berlakunya pengukuhan dolar AS dan ringgit lemah, BNM sebaliknya memiliki rizab tukaran asing untuk melindungi unit tempatan itu.

Biarpun bersetuju dengan tindakan campur tangan tertentu dalam pasaran, namun beliau melihat langkah pelaksanaan tambatan (ringgit) bukanlah cara sesuai kerana hanya memberi gambaran kepada para pelabur bahawa ringgit akan terus dihimpit tekanan bagi tempoh yang lama.

BNM menerusi kerjasama dengan FMC bertindak mengumumkan inisiatif bertujuan mengukuhkan pasaran kewangan dalam negara dan meningkatan mudah tunai pasaran pertukaran asing yang berkuat kuasa pada 5 Disember lepas.

Ini termasuk liberalisasi dan penyahkawalseliaan pasaran lindung nilai ringgit dalam negara, menyelaras pengolahan pelaburan dalam aset tukaran asing serta insentif dan pengolahan hasil perolehan eksport yang ternyata menyokong ringgit daripada terus susut selain memulihkan permintaan terhadap unit tempatan itu.

Jameel turut mengesyorkan agar Malaysia sentiasa meninjau peluang-peluang yang mampu memberi sokongan berterusan kepada ekonomi dalam tempoh-tempoh sukar.

Mengambil kira unjuran dagangan global yang suram pada tahun depan, banyak negara-negara Asia dijangka akan menumpukan usaha berteraskan ekonomi internet dan sektor teknologi.

"Malaysia juga boleh mendapat faedah hasil hubungan akrabnya dengan United Kingdom yang perlu mencari rakan dagang baharu apabila memulakan proses keluar daripada Kesatuan Eropah," katanya.



-- BERNAMA
Ekonomi Malaysia Kekal Berdaya Tahan Diasak Cabaran Getir Ekonomi Malaysia Kekal Berdaya Tahan Diasak Cabaran Getir Reviewed by Azmin on December 28, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.