Seo Services

Usia Hampir Enam Dekad, Terus Gagahi Kudrat Demi Anak OKU


KOTA SAMARAHAN: Biarpun usia hampir enam dekad, seorang bapa terus menggagahkan kudratnya demi memastikan keperluan dan kesihatan anak tunggalnya yang kelainan upaya (OKU) sentiasa terpelihara.

Sauti Udin, 59, dari Kampung Baru, Kota Samarahan bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan harian kira-kira RM50, bergantung kepada keadaan cuaca.

Anaknya, Abdul Wafid yang berusia enam tahun, hanya terlantar dan bergerak menggunakan kerusi roda khas dengan ibunya, Lela@Salmah Abang Mat, 51, yang terpaksa berhenti kerja sejak 2011.

Abdul Wafid kini menerima rawatan dua minggu sekali di klinik dan sebulan sekali di hospital ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.

Malah, dia juga terpaksa makan dan minum menggunakan tiub yang dipasang khas menerusi hidungnya.

“Anak kami ada menerima bantuan bulanan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sebanyak RM300 sebulan.

“Tetapi dengan kos sara hidup yang kian meningkat, sudah tentu bantuan yang digunakan sepenuhnya untuk membeli keperluan harian seperti susu formula khas dan lampin pakai buang tidak mencukupi.

“Apa lagi barang keperluan dapur lain, saya sendiri sudah tiga bulan tidak bekerja kerana sejak Oktober lalu saya dan isteri terpaksa berulang-alik menggunakan motosikal membawanya ke klinik dan hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru di sini, semalam.

Mengulas lanjut keperluan Abdul Wafid, Sauti berkata, anaknya minum susu formula khas yang berharga kira-kira RM84 setin dan memerlukan sekurang-kurangnya dua tin setiap sebulan.

“Selain susu formula khas ini, kami memberi dia susu formula tambahan yang berharga RM23 setin dan kalau satu bulan kira-kira empat tin diperlukannya.

“Belum lagi lampin pakai buangnya lagi. Sebab itulah kami amat memerlukan pertolongan dan bantuan daripada pihak kerajaan mahupun mereka yang bersimpati terhadap nasib kami bagi meringankan beban yang kami tanggung,” tambahnya.

Keperitan hidup Sauti dan isterinya turut mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang yang baru-baru ini tampil menghulurkan sumbangan peribadi kepada mereka.

“Saya datang melawat pasangan ini untuk memberi sokongan moral kepada mereka selain menyampaikan sedikit sumbangan peribadi.

“Ini adalah sebahagian daripada tinjauan dan lawatan kerja saya bagi kawasan kampung-kampung di DUN Muara Tuang dalam mengenal pasti permasalahan dan keperluan rakyat di kawasan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Malah, Idris memberitahu beliau akan memantau keadaan Sauti dan Lela dari semasa ke semasa agar beban kedua-dua pasangan itu dapat diringankan.-UB
Usia Hampir Enam Dekad, Terus Gagahi Kudrat Demi Anak OKU Usia Hampir Enam Dekad, Terus Gagahi Kudrat Demi Anak OKU Reviewed by Unknown on December 29, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.